Uqasha tetap berlakon meski terpalit kes dadah
Selepas dibebaskan dengan jaminan polis, pelakon Uqasha Senrose tetap meneruskan kehidupannya, termasuk menjalani penggambaran drama seperti dijadualkan.
Di sebalik tabir salah satu penggambaran Rahsia Hati Perempuan. (Gambar: Rahsia Hati Perempuan/Facebook)
KUALA LUMPUR: Selepas dibebaskan dengan jaminan polis, pelakon Uqasha Senrose tetap meneruskan kehidupannya, termasuk menjalani penggambaran drama seperti dijadualkan.
Menurut laporan Malaysiakini, sutradara Michael Ang, mengesahkan pelakon terkenal itu masih hadir ke lokasi penggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan yang diarahkannya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia ada di sini meneruskan penggambaran malah tiada sebab untuk kami tangguhkan penggambaran ini.
“Jika diikutkan, penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan hanya akan selesai pada bulan depan dan Uqasha masih mempunyai banyak babak untuk dihabiskan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Pada 6 Mei lalu, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah jenis Erimin 5.
Penemuan dadah itu dibuat selepas Uqasha, 25, terbabit dalam kemalangan di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Uqasha yang memandu sebuah SUV pada jam 11.45 pagi seorang diri terbabit dengan kemalangan berkenaan selepas melanggar kenderaan Honda BRV dipandu seorang lelaki.
UQASHA: SAYA TIDAK 'LALOK' LANGSUNG
Bagaimanapun, seperti dipetik Malaysiakini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ujian air kencing yang dijalankan ke atas Uqasha mendapati ia negatif dadah.
Pelakon berkenaan kemudian dilepaskan selepas keterangannya direkodkan.
“Polis akan menghantar 53 pil disyaki dadah Eramin 5 ke Jabatan Kimia manakala kertas siasatan berkaitan kemalangan dan penemuan dadah dalam beg pelakon itu akan dihantar kepada Jabatan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan kejadian, kakak kepada Nelydia Senrose itu menutup ruangan komen di Instagram miliknya hingga ke hari ini, lapor Malaysiakini.
Namun, tindakannya itu terpalit kepada Nelydia apabila pengguna media sosial mula menggunakan akaun Instagram miliknya untuk dijadikan medan ‘perang’ berhubung kes dihadapi kakaknya.
Dalam pada itu, Harian Metro turut melaporkan Uqasha mengaku beliau langsung tidak berada dalam keadaan khayal walaupun berlaku penyebaran gambar seorang wanita mirip wajahnya yang didakwa diambil di balai polis.
“Saya tidak lalok langsung. Ujian air kencing sudah dilakukan dan keputusannya negatif,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.