Umie Aida tidak 'menghilang'; terus berlakon tapi bersebab, bersyarat
Pelakon Umie Aida akan terus berlakon tetap bersyarat dan bersebab. (Gambar: Umie Aida)
SINGAPURA: Nama pelakon popular era 90-an iaitu Umie Aida kerap menjadi pilihan penerbit drama dan filem sehingga membuatnya sibuk memenuhi lamaran untuk berlakon suatu ketika dahulu.
Beliau juga pernah membawakan lagu Salam Taj Mahal serta berduet bersama Azman Abu Hassan menerusi lagu Redup Kerinduan.
Kredibilitinya sebagai pelakon hebat terbukti apabila trofi pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi filem Embun dan Dukun menjadi miliknya.
Namun, jarang sekali wajahnya dilihat di kaca televisyen atau pawagam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ke mana hilangnya Umie Aida? Itulah antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran ketika penulis terserempak dengannya di Singapura baru-baru ini.
Adakah beliau sudah meninggalkan dunia lakonan?
‘’Belum lagi, Insya Allah dalam masa terdekat akan berlakon kembali. Memang lama saya bercuti, sejak dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi, berehat anjur majlis ilmu, bila dah ok sikit saya mula berlakon sikit-sikit. Saya berlakon pun ada sebab," Umie Aida memberitahu BERITA Mediacorp apabila dihubungi di Kuala Lumpur.
SEBAB 'MENGHILANG'
Selain PKP semasa pandemik COVID-19 melanda, rehatnya selama empat tahun juga disebabkan beliau menjaga seorang anak angkat perempuan yang kini sudah berusia lima tahun.
“Apabila memikul tanggungjawab yang Allah bagi ini maka saya harus memberi perhatian dan kasih sayang yang diperlukan lebih-lebih lagi bila dia baru nak membesar supaya dia rasa saya dekat dengannya. Saya luangkan masa dengannya jadi saya nampak perubahan dia dari dia merangkak, berjalan, berlari dan bercakap," cerita Umie Aida kepada BERITA Mediacorp.
Sebelum ini pun, Umie Aida pernah mengambil dua anak angkat lelaki yang kini sudahpun berusia 29 tahun dan 30 tahun.
Meskipun sebelum ini Umie Aida tidak merancang untuk mengambil anak angkat lagi selepas dua anak lelaki tersebut, namun sudah tertulis apabila beliau terbuka hati sekali lagi untuk mengambil anak angkat perempuan pula.
“Bila kita tengok pembesaran dia, kita tengok dia bahagia, tengok perangai dia memang sangat indah perasaan yang Allah bagi.”
SYARAT "TIADA PEGANG-PEGANG"
Ternyata, Umie Aida masih lagi menerima lamaran untuk berlakon. Cuma ada syarat untuk pihak produksi pertimbangkan agar menambat hatinya untuk berlakon.
Salah satu syaratnya adalah “tiada pegang-pegang” dengan pelakon lelaki dan pakaian yang dipakainya harus tutup sewajarnya.
Malah, Umie Aida akan masuk ke set tidak lama lagi untuk produksi terbitan kakaknya pengarah Erma Fatima.
Adakah ini bermakna Umie Aida akan hanya berlakon untuk produksi kakaknya sendiri sahaja?
“Sebenarya berlakon dengan produksi luar lebih senang kerana mereka tidak tahu (kenal) saya lagi, mereka akan menjaga saya dengan baik,” jawab Umie Aida sambil tertawa.
Bermakna, para peminat boleh menantikan kemunculan Umie Aida tidak lama lagi.
TERUS BERLAKON BERSEBAB
Kesediaan Umie Aida untuk terus berlakon bukanlah suka-suka. Sebaliknya, beliau mempunyai niat lebih besar dan murni untuk mencari dana bagi sebuah musollah yang dibina di rumahnya - iaitu Musollah Aisya.
PKP juga merintis jalan untuk Umie Aida menubuhkan Musollah Aisya di rumahnya. Musollah itu digunakan untuk menghimpunkan sesiapa yang berminat untuk mengikuti majlis ilmu anjurannya secara percuma.
Sebelum wujudnya Musollah Aisya, kelas dibuat secara online sahaja di mana sekitar 900 sehingga 1000 orang ikuti kelas solat melalui Zoom.
“Ada yang nak tahu bagaimana nak solat duduk sebab waktu PKP dulu ramai yang sakit jadi mereka baru nak belajar jadi saya pun belajar sekali. Maka dari situlah ditubuhkan Musollah Aisya di rumah saya dengan ruang muat 300 orang untuk setiap majlis ilmu," ujar Umie Aida.
Antara lain, majlis ilmu itu juga fokus kepada kitab fardu Ain, tawhid dan Al Quran.
“Ia lebih serious sewaktu PKP. Ramai DM tidak tahu tentang bagaimana nak solat, perkara-perkara asas pun tak semua tahu. Mungkin mereka lebih selesa bertanya kepada saya. Maka menjadi satu tanggungjawab untuk saya perbaiki diri saya juga dan mengajak orang untuk turut serta belajar sesuatu yang kita tidak tahu. Di situlah permulaan majlis ilmu," tambah beliau.
Antara agamawan yang pernah diundang ke majlis ilmu anjuran Umie Aida termasuk Ustazah Asmah Harun, Ustazah Asni Mansor, Ustazah Norhafizah Musa, Syeikh Zainul Asri serta habib-habib dari Indonesia dan Yaman.
Selain teman-teman rapat dan peminat Umie Aida yang hadir ke majlis ilmu tersebut, para artis seperti Vanida Imran, Zizi Kirana dan Noorkhiriah turut mengikutinya.
“Satu usaha kita adalah rezeki yang Allah bagi itu untuk kita semua berkongsi. Maka elemen berkongsi itu saya terapkan dalam Musollah Aisya, yang mana syukur kehidupan saya seadanya dan selebihnya saya berkongsi dengan orang yang sama-sama berminat untuk menimba ilmu kerana menimba ilmu bukan untuk mereka sahaja tetapi untuk diri saya juga. Semuanya atas izin Allah. Allah pilih kita untuk menjalankannya," kongsi Umie Aida.
HASRAT ANJUR MAJLIS ILMU DI SG
Umie Aida menambah, untuk membolehkan beliau terus menganjurkan acara, beliau memerlukan dana. Lantaran itu jugalah beliau sedia terus berlakon. Ini selain tabung dana yang dimulakan di musollah tersebut.
“Musollah juga membuka tabung sejak akhir-akhir ini sebab ada jemaah kata jugak mereka nak infaq untuk majlis ilmu jadi saya bukak tabung. Untuk lakonan jika ada sokongan, saya akan masukkan ke Musollah Aisya. Untuk kita anjurkan acara memang memerlukan duit.”
Umie Aida berharap agar ada pihak di Singapura juga ingin bergabung dengan Musollah Aisya untuk merealisasikan niat beliau menganjurkan majlis ilmu di Singapura suatu hari nanti.
“Insya Allah saya memang ada niat untuk buat majlis ilmu di Singapura, belum diusahakan lagi tapi sudah pasang niat suatu hari nanti. Saya sudah buat di Sabah dan kali ini di Singapura pula.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.