U.K's buat konsert sulung di Singapura

Gambar: U.K's
Rabu ini (8 Nov) adalah kali pertama kumpulan rock U.K’s membuat konsert di Singapura sejak ia ditubuhkan pada tahun 1986.
Kenapa tunggu 37 tahun lamanya? Kenapa tidak apabila nama U.K’s meletup dengan lagu 'Di Sana Menanti Di Sini Menunggu'?
Dalam wawancara menerusi Zoom, Berita Mediacorp mencari penjelasannya.
Vokalis U.K's, Mohd Azmir Muhammad Yusuf atau Amir, menjelaskan, "Sebenarnya memang kami mengalami masalah juga suatu ketika dahulu, tetapi dapat diselesaikan dengan baik. Dalam masa yang sama, industri muzik pula mengalami kemurungan dari segi persembahan secara 'live'. Namun saya nampak selepas COVID, industri untuk persembahan 'live' ini hidup kembali. Jadi kami pun terima peluang yang diberi oleh Jive Entertainment, Singapura untuk membawa U.K’s ke Singapura setelah sekian lama tiada peluang.
"Dan kami percaya, semenjak kami buat persembahan dalam rancangan RTM, 'Konsert Minggu Ini' dan juga konsert di Istana Budaya, dari situlah kami mula diberi perhatian kembali."

Namun mengapa anjurkan konsert pada pertengahan minggu, pada hari orang bekerja?
TIADA PILIHAN TARIKH HUJUNG MINGGU UNTUK KONSERT U'K'S
Menurut Mus, pemain gitar utama yang nama penuhnya Mustafa Kamal Ahmad, "Tempahan di Dewan Konsert Esplanade sudah terlalu penuh. Hingga penganjur tidak boleh hendak selit tarikh lain. Tarikh yang masih kosong hanya pada hari itu."
Amir pula menambah, "Memang kita hendakkan tarikh hujung minggu. Tetapi disebabkan Esplanade sendiri telahpun ditempah oleh pihak-pihak yang lain, jadi itu adalah 'slot' yang kosong. Jadi daripada kita langsung tidak dapat menunggu tarikh yang dikehendaki, maka kita terima sahajalah hari biasa iaitu hari Rabu sebagai hari konsert U.K’s."
Dengan yakin, Amir menekankan, "Tetapi kalau orang nak tengok, orang yang minat, dia tidak fikir hari. Kami memang teruja sangat ini sebab setelah sekian lama tidak diberi peluang. Jadi anda jangan lepaskan peluang ini untuk datang ke konsert pada 8 November. Walaupun hari biasa, hari Rabu, sekarang ini kita tengok depan-depan. U.K’s akan beraksi!"
"Kasi pecah panggung!" seloroh gitaris utama, Mus.
Menjanjikan banyak kejutan dalam konsert sulung mereka di Singapura itu nanti, U.K's yang sudah berlatih lebih empat bulan, bertekad untuk menyanyikan 20 lagu 'hits' yang setiap satu mempunyai ceritanya tersendiri.

Apakah kejutan itu nanti termasuk mengulangi penampilan khas pengasas kumpulan U.K's yakni komposer Saari Amri, berduet bersama Amir di Singapura, seperti yang dilakukan dalam konsert mereka di Kuala Lumpur?
Amir mengaku sudah cuba memujuk Saari, namun belum mendapat kepastian.
Bagaimanapun, selama hampir 2 jam pada 8 November nanti, para peminat diajak bernostalgia dengan lagu-lagu 'killer' mereka seperti yang diterangkan oleh pemain gitar kedua, Rozdenil Toni atau Denil, "Tajuk konsert pun ‘U.K’s Kau Satu-Satunya’ di Esplanade Singapore, jadi sudah tentu lagu 'Kau Satu-Satunya' itu memang wajib kita bawa."
"Semua lagu yang diminati akan kami bawakan. 'Di Sana Menanti Di Sini Menunggu' ke, 'Seksa', 'Sesak', 'Sebak', 'Kekasihku Di Menara', masing-masing lagu ada peminat tersendiri. Memang kami tidak akan lepaskan peluang untuk sampaikan. Dan inilah masanya kami akan segarkan-semula lagu-lagu itu."
Sampuk Amir, "Peminat dapat bernostalgia apabila menyaksikan secara berdepan, secara 'live' melihat dengan mata kepala sendiri, 'oh lagu inilah waktu itu aku bercinta', contoh. 'Lagu inilah waktu itu aku berpisah', contoh. Ini memang ada. Dan 'dengan lagu inilah aku berkahwin', memang ada, memang wujud benda ini. Jadi di situlah keistimewaannya konsert kami nanti."
Kumpulan ini turut meluahkan rasa syukur terhadap wujudnya media sosial yang memberi mereka peminat-peminat baharu daripada kalangan golongan muda.
'DI SANA MENANTI DI SINI MENUNGGU' MENJADI LAGU LATAR PILIHAN RAMAI PENCIPTA KANDUNGAN MUDA
Menurut Denil, "Untuk lagu 'Di Sana Menanti Di Sini Menunggu', di media sosial seperti YouTube, terutama TikTok. Mereka kadang buat 'content' dekat TikTok, muzik latar itu kadang lagu siapa yang mereka guna pakai? Kenapa guna pakai lagu itu? Bermakna dia mesti sudah selidik lagu itu, apa kaitan 'content' dia dengan lagu itu.
"Jadi bukan kata yang umur 40 tahun ke atas sahaja, budak-budak muda pun menggunakan lagu tersebut kerana ada kaitan dengan 'content' yang mereka buat. Jadi dekat situ kita ada kelebihan di mana budak-budak muda sekarang pun terima lagu-lagu U.K’s."
Akhirnya Olley atau pemain gitar bes, Mohamad Saleh Mohd Alias menambah bahawa, "Lagu 'Di Luar Kemampuanku' dan lagu 'Bila Diri Disayangi' juga merupakan lagu-lagu yang viral di TikTok."
Pemain dram Amiruddin Shariff atau panggilannya Amirul, tidak dapat menghadiri sesi wawancara Zoom.
Pegawai publisiti bagi konsert U.K's, Freda Hassan berkata, untuk tiket 'Meet and Greet' pada harga hanya $155, pembeli juga akan mendapat sehelai kemeja-T edisi terhad.
Tiket untuk konsert konsert 'U.K's Kau Satu-Satunya' di Esplanade pada 8 November boleh didapatkan dari SISTIC.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.