Trofi Pesta Perdana direka semula sempena ulang tahun ke-25 Suria

Pesta Perdana kembali lagi untuk mengiktiraf bakat seni tempatan pada 24 Mei 2025. (Gambar: Mediacorp)
Trofinya direka semula dengan bola kristal potongan berlian yang mewah.
Menurut Mediacorp, ia bagi melambangkan legasi Suria yang terus menyinar.

Acara gilang gemilang itu yang akan berlangsung pada 24 Mei ini juga akan mempunyai sebuah segmen video khas bagi membawa para penonton mengimbau detik-detik ikonik sepanjang 25 tahun Suria.
Dengan tema "Detik untuk Seumur Hidup", acara itu akan turut dihadiri para personaliti yang memulakan kerjaya mereka dalam bidang seni di Suria seperti para pelakon dari siri Anak Metropolitan, Cinta Bollywood dan Krayon.
"Tahun ini, Pesta Perdana akan menjadi malam yang luar biasa, bersinar dengan barisan artis yang hebat, persembahan yang mengasyikkan, dan penghargaan yang penuh makna," kata Ketua Pegawai Pembangunan Pelanggan dan Korporat Mediacorp, Angeline Poh.
"Sempena menyambut 25 tahun Suria, acara ini akan memberi penghormatan kepada perintis yang telah membentuk hiburan Melayu tempatan, sambil memberi sorotan kepada bakat baru yang menarik yang memimpin arah masa depan," tambahnya lagi.
Lebih istimewa lagi, acara itu akan diserikan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi.
25 ANUGERAH IKTIRAF KARYA & BAKAT HEBAT SURIA
Sebanyak 25 anugerah akan dipersembahkan bagi mengiktiraf seni dan bakat hebat di Suria antara tahun 2023 hingga 2025.
Antaranya termasuk Pelakon Terbaik, Drama Terbaik dan Rancangan Hiburan Terbaik.
Pesta Perdana 2025 juga akan memberi penghormatan kepada seorang veteran yang kerjanya telah memberi sumbangan besar kepada industri hiburan Melayu tempatan menerusi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang berprestij.
Terdapat juga dua kategori yang pemenangnya akan ditentukan oleh para peminat.
Orang ramai boleh mengundi pilihan mereka dalam kategori “Personaliti Lelaki Paling Popular” dan “Personaliti Wanita Paling Popular”.
Undian kini dibuka sehingga 24 Mei, jam 10.00 pagi di sini.
NADEERA ZAINI, ANUAR ZAIN BUAT PERSEMBAHAN
Selain penyampaian anugerah, pentas Pesta Perdana 2025 juga akan digamatkan lagi dengan persembahan istimewa para artis dalam dan luar negara.
Antaranya ialah persembahan oleh tiga pemenang Singapore Idol iaitu Taufik Batisah, Hady Mirza dan Sezairi yang akan mempersembahkan lagu-lagu ikonik mereka.
Mereka juga akan digabungkan dalam satu persembahan istimewa bagi menutup tirai acara malam itu.
Pesta Perdana tahun ini juga akan menampilkan persembahan istimewa oleh vokalis terkenal dari Malaysia, Anuar Zain dan Nadeera Zaini.

PESTA PERDANA GLAM DAN PESTA PERDANA 2025
Acara Pesta Perdana akan dimulakan dengan acara karpet merah, Pesta Perdana Glam yang akan dikelolakan oleh DJ RIA 897, Azura Goh dan Fadli Kamsani, serta personaliti Fikah Zainal dan Zhin Sadali.
Ia akan disiarkan secara langsung dari jam 7.00 malam hingga 8.00 malam di meWatch, di saluran YouTube Mediacorp Entertainment , akaun TikTok Mediacorp Untukmu dan saluran Suria pada 24 Mei.
Siaran langsung Pesta Perdana pula akan disiarkan dari jam 8.30 malam hingga 11.00 malam di meWatch, YouTube dan Suria.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.