Skip to main content

Hiburan

Treler pertama 'Avengers: Doomsday' tampilkan Doctor Doom, X-Men & Fantastic Four

Anggaran Waktu Membaca:
Treler pertama 'Avengers: Doomsday' tampilkan Doctor Doom, X-Men & Fantastic Four

Robert Downey Jr membawakan watak Doctor Doom dalam Avengers: Doomsday. (Gambar: Marvel Entertainment)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 10:06PM
SINGAPURA: Marvel Studios melancarkan treler pertama filem Avengers: Doomsday, sekali gus memberi gambaran awal mengenai kemunculan Doctor Doom, X-Men dan Fantastic Four dalam kesinambungan terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU).

Filem itu dijadual ditayangkan di pawagam pada 18 Disember 2026 dan diarahkan adik-beradik Anthony serta Joe Russo, yang sebelum ini menghasilkan Avengers: Infinity War dan Avengers: Endgame.
Treler berkenaan menghimpunkan semula beberapa watak popular MCU, di samping memperkenalkan Robert Downey Jr sebagai Doctor Doom selepas lebih sedekad membawakan watak Tony Stark atau Iron Man.

Antara watak yang membuat kemunculan ialah Shang-Chi lakonan Simu Liu, yang dilihat bertarung dengan Gambit daripada X-Men, lakonan Channing Tatum.

Turut dipaparkan ialah Shuri sebagai Black Panther, M'Baku, serta anggota Fantastic Four yang terdiri daripada Reed Richards, Sue Storm, Johnny Storm atau Human Torch dan Ben Grimm atau The Thing.
Related article image
Patrick Stewart dan Ian McKellen kembali membawakan watak Profesor Charles Xavier dan Magneto dalam Avengers: Doomsday. (Gambar: Marvel Entertainment)
Watak Loki lakonan Tom Hiddleston turut kembali, selain Profesor Charles Xavier dan Magneto yang masing-masing dilakonkan Patrick Stewart dan Ian McKellen.
Related article image
Tom Hiddleston kembali membawakan watak Loki dalam Avengers: Doomsday. (Gambar: Marvel Entertainment)
Beberapa anggota Avengers turut membuat penampilan semula, termasuk Bucky Barnes atau Winter Soldier, Falcon atau Captain America, Thor dan Ant-Man.

Bagaimanapun, dua watak utama iaitu Spider-Man lakonan Tom Holland serta Bruce Banner atau Hulk lakonan Mark Ruffalo tidak kelihatan dalam treler tersebut, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Antara babak yang paling mendapat perhatian ialah kemunculan Doctor Doom yang dibawakan Robert Downey Jr, sekali gus mencetuskan pelbagai teori mengenai hubungan watak itu dengan Iron Man.
Related article image
Chris Evans dan Chris Hemsworth kembali sebagai Steve Rogers dan Thor dalam Avengers: Doomsday. (Gambar: Marvel Entertainment)
Chris Evans turut kembali sebagai Steve Rogers dan dilihat mengucapkan ungkapan ikonik "Hey pal" kepada Thor. Beliau juga sekali lagi dilihat mengangkat Mjolnir, tukul sakti milik Thor.

Bagi peminat yang ingin mengikuti jalan cerita Avengers: Doomsday, beberapa judul terdahulu seperti Loki, Doctor Strange in the Multiverse of Madness, Deadpool & Wolverine, The Fantastic Four: First Steps dan Thunderbolts disifatkan penting kerana memperkenalkan jalan cerita serta watak yang dijangka memainkan peranan besar dalam filem itu.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita