Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tokoh ulung perfileman Hollywood Sidney Poitier meninggal dunia pada usia 94 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Tokoh ulung perfileman Hollywood Sidney Poitier meninggal dunia pada usia 94 tahun

Sidney Poitier selepas menerima anugerah kehormat Oscar semasa penyampaian Anugerah Akademi ke-74 di Hollywood. (Gambar: Mike Nelson/AFP)

BAHAMAS: Sidney Poitier, lelaki berkulit hitam yang pertama memenangi anugerah Oscar bagi kategori pelakon terbaik, meninggal dunia pada usia 94 tahun. 

Pemergian bintang Hollywood itu disahkan oleh pejabat Fred Mitchell, iaitu Menteri Ehwal Luar Bahamas. 

Poitier merupakan seorang tokoh ulung perfileman Hollywood dan penyokong gerakan kemanusiaan serta diplomat yang dihormati. Beliau memenangi Anugerah Akademi dalam kategori pelakon terbaik bagi filem Lilies of the Field pada 1963. 

Mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyatakan Poitier adalah "lambang keunggulan dan ketokohan" yang sungguh hebat dan "satu-satunya bakat yang sangat menyerlah". 

Encik Barack menambah, pelakon tersebut membuktikan "kuasa filem untuk mempereratkan lagi hubungan satu sama lain" dan "membuka peluang-peluang kepada generasi-generasi pelakon selepasnya". 

Dilahirkan di Miami, Poitier membesar di sebuah kebun tomato di Bahamas dan berpindah ke New York pada usia 16 tahun, menurut BBC.

Beliau mendaftar untuk bekerja sementara dalam angkatan tentera dan melakukan kerja-kerja rencam sambil mengikuti kelas-kelas lakonan sebelum menjadi bintang di pentas dan pawagam pada tahun 1950an dan 60an. 

Poitier memecahkan halangan perkauman di Hollywood. 

Watak yang dimainkan dalam filem The Defiant Ones pada 1958 membawa kepada pencalonan Oscar yang pertama untuknya. Ini merupakan satu pencapaian bersejarah untuk seorang lelaki berkulit hitam yang memegang watak utama pada masa itu. 

Lima tahun kemudian, Poitier mendapat peluang yang lebih baik dan berlakon dalam filem Lilies of the Field, di mana beliau memainkan watak seorang pekerja rencam yang menolong para biarawati Jerman untuk membina gereja di padang pasir. 

Berucap secara langsung di Facebook pada Jumaat (8 Jan), Perdana Menteri Bahamas Philip Davis mengatakan: "Seluruh Bahamas sedang berdukacita. Namun, sedang kita meratapi pemergiannya, kita meraikan kehidupan dan kejayaan penduduk Bahamas yang hebat ini." 

Encik Davis menambah: "Kekuatan perwatakannya, kesanggupannya untuk bangkit dan diambil kira serta cara beliau mengharungi perjalanan kehidupannya. 

"Seorang budak lelaki yang berpindah daripada kebun tomato untuk menjadi seorang pelayan di Amerika Syarikat, anak muda yang bukan sahaja mengajar dirinya membaca dan menulis, tetapi juga menjadikan pertuturan kata-kata, buah fikiran dan perasaan tunggak kerjayanya." 

Pelakon itu kerap muncul dalam filem-filem di pawagam semasa pengasingan berdasarkan kaum masih berleluasa di Amerika Syarikat, menurut BBC. Beliau berlakon dalam filem Patch of Blue pada 1965 dan Heat of the Night satu tahun kemudian, diikuti dengan Guess Who's Coming to Dinner, di mana beliau memainkan watak sebagai seorang lelaki berkulit hitam yang bertunang dengan seorang wanita berkulit putih. 

Dalam filem Heat of the Night, Poitier memainkan watak sebagai Virgil Tibbs, seorang pegawai polis berkulit hitam yang berdepan isu perkauman semasa satu siasatan bagi kes pembunuhan. 

'Menangani isu perkauman'

Penulis majalah Empire Amon Warmann memberitahu BBC: "Beliau adalah seorang perintis dalam dunia perfileman, beliau sungguh berpengaruh dan merintis jalan bagi ramai orang dalam industri untuk melakar sejarah mereka sendiri, seperti Denzel Washington yang memberi penghormatan kepada beliau apabila memenangi anugerah Oscar." 

Washington, yang memenangi anugerah Oscar 2022, iaitu malam yang sama Poitier memenangi anugerah kehormat Oscar, berseloroh: "Empat puluh tahun saya bersaing dengan Sidney dan apa yang mereka lakukan - mereka memberikannya anugerah pada malam yang sama juga."

Encik Warmann menambah, Poitier "menangani isu perkauman secara langsung" menerusi karya-karyanya, namun, beliau juga "sangat versatil". 

Pelakon Whoopi Goldberg memetik lirik lagu To Sir With Love, yang diputarkan sebagai lagu utama filem Poitier pada 1967. "Beliau menunjukkan kepada kita bagaimana untuk mencapai bintang di langit," kata Goldberg, seperti dipetik BBC. 

Dalam satu wawancara pada 2000, Oprah Winfrey memberitahu Poitier, penerbit Quincy Jones pernah menyifatkan Poitier sebagai "tokoh yang mencorakkan dan menyerlahkan sumbangan pelakon kulit hitam kepada industri perfileman".

"Ia adalah satu tanggungjawab yang amat besar," balas Poitier. "Dan saya menerimanya, dan saya hidup dengan cara yang menunjukkan saya menghormati tanggungjawab tersebut."

Penulis skrip Richard Wesley menambah: "Pada waktu itu, terdapat keperluan sosial bagi satu watak seperti Sidney Poitier. Perubahan-perubahan sosial yang tercetus disebabkan oleh gerakan hak sivil menuntut perbicangan, interaksi dan kaji diri yang berbeza tentang rakyat Amerika berkulit hitam dan putih pada ketika itu.

"Watak-watak yang dimainkan Sidney Poitier menerusi filem-filemnya merupakan sebahagian daripada perbualan itu - dan mereka adalah bahagian yang diperlukan dalam perbualan tersebut." 

Poitier juga menjadi pelakon berkulit hitam pertama untuk menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat daripada Institut Filem Amerika pada 1992. 

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai duta Bahamas kepada Jepun dan dianugerahi darjah kehormatan daripada Ratu Elizabeth II pada 1974. 

Sebagai seorang rakyat Bahamas, Poitier layak untuk menerima anugerah kehormat substantif. Namun, memandangkan beliau seorang penduduk AS dan mempunyai keturunan Bahamas, pihak berkuasa Bahamas menyarankan anugerah itu sebagai anugerah kehormat. 

Poitier pernah berkahwin dua kali dan dikurniakan enam orang anak.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan