Skip to main content

Hiburan

Tiket 'Malam Seram: Teater dan Muzik' habis terjual, KC Champion cuba suntik pembaharuan dalam persembahan

Buat pertama kalinya sebuah teater muzikal seram bakal dipentaskan mantan deejay Mediacorp RIA 897FM, KC Champion yang juga penerbit podcast 'Malam Seram'.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kalinya sebuah teater dan muzik seram bakal dipentaskan mantan deejay Mediacorp RIA 897FM, KC Champion yang juga penerbit podcast 'Malam Seram'.

Gabungan elemen penceritaan, lakonan dan nyanyian juga membezakannya daripada persembahan-persembahan KC sebelum ini.

"Sebelum ini, saya hanya membaca. Di Esplanade, di KL, saya hanya sekadar membaca cerita. Tidak ada lakonan, tidak ada muzik. Tapi untuk kali ini, saya kongsi 'scoop' sedikit – kelainannya adalah, saya akan berlakon sebagai seorang perawat yang berkongsi pengalaman," kongsi KC kepada wartawan Roslinda Rahmat.

"Sudah 18 tahun saya buat (genre seram) ini. Saya rasa sebabnya kenapa masyarakat kita suka dengan genre seram ini, kerana dari kecil kita dah ditakut-takutkan. 'Tak nak tidur, nanti aku panggil dia datang.' Jadi dari situ, kita pun ada perasaan ingin tahu. Adanya filem-filem seram yang sering kali tak pernah putus dalam apa jua bahasa juga menambah minat itu berterusan. Genre seram ini malar segar. Jadi selepas saya dah pencen, contoh, dah jadi datuk-datuk, tak boleh bercakap ke, saya rasa mereka akan tetap boleh mendengar podcast saya dan rasa ada kaitan dengan apa yang diceritakan," tambahnya.
“Malam Seram.. peluang untuk kita jentik atau buka fikiran penonton,” Beto Kusyairy (tengah). (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Bakal berlangsung di The Star Theatre pada 24 Mei ini, ia akan juga menampilkan pelakon-pelakon dari Malaysia iaitu Beto Kusyairy dan Nabila Huda.

"Saya cukup berbesar hati dapat terlibat dengan projek ini. Pertama sekali, ianya diarahkan oleh sahabat saya, Rafaat Hamzah. Sebelum ini pernah bekerjasama sebagai rakan lakon dan kali ini diarahkan oleh beliau sendiri. Ini peluang yang tak ada sebab untuk saya tolak. Pada saya, ia ada satu pendekatan yang sangat berbeza untuk kita jentik ataupun kita buka fikiran dan menyedarkan penonton, menerusi apa yang kita bawakan," ujar Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 45 tahun.

Bagi Nabila Huda pula, beliau teruja kerana ini pengalaman baharu bagi dirinya.

"Ini adalah pertama kali saya buat genre seram yang dipentaskan. Untuk watak Najwa ini, dia ada 'isi' dia. Isinya, jangan sekali-kali mempercayai kawan yang berada di sekeliling anda. Watak ini amat moden. Dia tak jadi hantu ke, tak ada. Secara jujurnya, saya sendiri memang takut dengan genre seram. Walaupun saya berlakon dalam filem seram tapi sebenarnya saya sendiri takut dan saya tak menonton," kongsi Nabila kepada wartawan.

Selain mereka, pementasan ini akan turut dijayakan oleh bakat tempatan, Dalifah Shahril dan Rizal Aiman.
Nabila Huda (kiri) dan Mimifly pertama kali melakonkan genre seram di atas pentas dan menyanyikan lagu genre seram. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
MIMIFLY BERANIKAN DIRI CUBA GENRE SERAM

Selain para pelakon, para penonton juga boleh bayangkan dihiburkan dengan lagu-lagu seperti 'Sephia' dan 'Pulangkan' yang digubah semula agar kedengaran lebih menyeramkan.

Lebih istimewa lagi, ia akan turut dipersembahkan oleh penyanyi yang popular dengan lagu 'Angkat' dan 'Serumpun' iaitu Mimifly.

"Mimi ditugaskan untuk mempersembahkan vokal Mimi dalam teater dan muzik ini, dan juga memberi impak seram itu. Peranan Mimi adalah untuk memberi warna. Bagi Mimi, muzik memberi warna. Muzik dan teater ini berpisah tiada, bukan? Secara jujurnya, Mimi bukan penggemar cerita hantu. Mimi takut. Tetapi adalah penting untuk kita mencuba benda yang baharu dan juga cuba untuk tidak berfikirkan seperti kita yang dahulu," jelas Mimifly.

"Mimi percaya bila kita bekerja dengan orang-orang hebat, kita akan jadi hebat. Mimi sekarang hanya mahu memastikan yang Mimi sentiasa mencuba, memperbaharui, memberi diri Mimi peluang untuk mengekspresi dari mana-mana bidang pun. Muzik, lakonan, teater, muzikal... Mimi rasa projek ini tepat sekali. Jadi Mimi nak menimba ilmu sambil mencipta memori dengan rakan-rakan artis lain dan juga pasukan penerbitan. Supaya lebih matang atau lebih memahami siapa Mimi dan apa kemampuan kita sebenarnya," tambahnya.

KESEMUA 1,900 TIKET HABIS TERJUAL

Usaha menggabungkan pelbagai elemen persembahan dan tarikan oleh bakat-bakat hebat nampaknya berhasil dengan kesemua 1,900 tiket habis terjual dalam masa kurang daripada tiga bulan di pasaran.

Tiket bagi 'Malam Seram: Teater dan Muzik' yang diarahkan Rafaat Hamzah, diterbitkan dan dianjurkan oleh Atrez dari Muse+ mula dijual sejak 14 Februari dan habis terjual pada 9 Mei.

Tiket-tiket berharga antara S$95 hingga S$195.

Lebih penting lagi bagi peneraju muzikal ini iaitu KC sendiri, pementasan ini lebih kepada untuk berkongsi ilmu dan pengajaran.

"Setiap kali saya bercerita, saya nak ada satu penutup yang mana kita pelajari sesuatu, yang mana kalau kita bermain, berkawan dengan entiti-entiti ini, ia tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan. Di akhir cerita, kita akan musnah," tegas KC.

Beliau juga akan menggunakan pengalamannya selama 18 tahun menerbitkan kandungan genre seram untuk hiburkan para penonton di pementasan itu nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita