Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tiket konsert Wings laris bak pisang goreng panas; habis dalam 15 minit

Anggaran Waktu Membaca:
 Tiket konsert Wings laris bak pisang goreng panas; habis dalam 15 minit

Kumpulan Wings. (Gambar: Shiraz Projects/Facebook)

KUALA LUMPUR: Tiket Konsert Wings yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Malaysia pada 15 Julai depan habis dijual dalam tempoh 15 minit selepas dilancarkan pada pukul 10.00 pagi Khamis (16 Jun).

Penganjur konsert, Shirazadeen Karim dari Shiraz Projects Sdn Bhd berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka tiket habis terjual dalam tempoh singkat, selain teruja dengan sokongan dan semangat peminat muzik tanah air terhadap konsert tempatan, lapor BH Online.


"Saya tidak sangka ia akan habis dijual dalam masa 15 minit sahaja. Ini menunjukkan industri muzik sedang berkembang sihat. Kita juga sedia maklum bahawa sokongan kelab peminat rasmi, Sayap-Sayap Wings sentiasa padu terhadap Wings.

"Saya sangat berterima kasih atas sokongan peminat Wings yang sentiasa menyokong perjalanan muzik dan konsert Wings.

"Kami juga bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Wings yang juga kumpulan rock legenda tanah air," katanya kepada BH Online.

Dalam masa yang sama, Shiraz turut memuji kerjasama dan komitmen diberikan Wings yang dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) dalam merealisasikan konsert.

"Komitmen Wings terhadap promosi dan perjalanan konsert ini juga sangat baik. Kami berharap dapat bekerjasama lagi dengan Wings dan penyanyi tempatan untuk menghasilkan persembahan terbaik dan diingati peminat.

"Nantikan satu pengumuman daripada kami dan Wings dalam masa terdekat ini," katanya.

Encik Shiraz berkata, faktor pemilihan lagu-lagu adalah mencabar untuk dijadikan senarai dalam persembahan DFP dan pastinya Wings akan tampil dengan sebuah persembahan yang bakal menjadi kenangan bersejarah lagi buat peminat.

Tiket konsert berkenaan dijual dengan harga RM650 (S$207) (meet and greet), RM375 (S$119) (Diamond) dan RM250 (S$80) (platinum).

Terdahulu, Wings menjadi artis pertama pilihan Shiraz Projects untuk membuka tirai persembahan Fabulous Friday setiap bulan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mulai 15 Julai depan.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan