Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tiga Hari Ke Korban naskhah bersulamkan rasa dan jiwa; ibarat sebuah filem, kata Fauziah Nawi

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga Hari Ke Korban naskhah bersulamkan rasa dan jiwa; ibarat sebuah filem, kata Fauziah Nawi

(Gambar: Mediacorp Suria)

BERITAmediacorp: "Jika penonton nak tengok saya menangis, tak ada... tapi kami disentak dengan tembakan rasa itu yang payah untuk saya mengawal supaya tidak pecah. Saya rasa itu yang naskhah ini mahu.

"Itu cantiknya lakonan ini yang disulamkan dengan rasa dan jiwa, kemudian dikawal dengan lebih halus."

Demikian kongsi pelakon mapan Malaysia, Fauziah Nawi, semasa berkongsi pengalamannya dengan BERITAmediacorp membintangi telemovie khas Hari Raya Aidiladha Singapura, Tiga Hari Ke Korban, yang akan disiarkan di Mediacorp Suria pada Ahad (10 Jul).
(Gambar: Mediacorp Suria)
Cukup dikenali dengan pembawaan watak yang berkesan dalam setiap lakonannya, Fauziah Nawi malah memuji jalan cerita, skrip serta pengarah Tiga Hari Ke Korban dalam mewujudkan hasil yang baik.

"Tiga Hari Ke Korban, punya 'twist and turn' berbeza. Ia sebenarnya cerita yang sangat berat tetapi diringankan dengan cara setiap babak itu digambarkan.

"Pada saya, bila saya mula-mula baca naskhah itu, ini lain. Tak macam saya selalu bawa.

"(Pengarah) Mahfuz tahu mcm mana nak kawal. Saya senang bekerja dengan dia. Bila saya bercakap dengan dia, dia tak suka lakonan yang lebih-lebih tapi cukup-cukup rasa, yang ditahan-tahan. Itu yang seronoknya," kongsi Fauziah.
(Gambar: Mediacorp Suria)
Pelakon berkaliber itu juga meluahkan rasa kagum terhadap usaha dan kerja keras pihak penerbitan. Apa tidaknya, seluruh set penggambaran bukan seperti sebuah telemovie, kata Fauziah.

"Keadaanya bukan macam telemovie, macam filem, dari segi teknikal juga. Set bagi setiap babak sangat besar.

"Jadi saya rasa seperti, Mahfuz nak buat telemovie ke filem ini?" seloroh Fauziah.

BERI CABARAN KEPADA BARISAN PELAKON
(Gambar: Mediacorp Suria)

Bertemakan pengorbanan dan hubungan kekeluargaan, Tiga Hari Ke Korban dibarisi Fauziah Nawi, Suhaillah Salam, Shah Iskandar, Tysha Khan dan Hasif Nasir.

Telemovie khas itu mengisahkan empat adik-beradik yatim piatu yang pulang ke kampung mereka selepas mendapat panggilan telefon yang tidak dijangkakan.

Mendapati diri mereka dalam sekitaran yang luar dari kebiasaan bersama nenek mereka, kekecohan mula berlaku apabila kambing yang patutnya dikorbankan bagi Hari Raya Haji, terlepas.
Sebahagian besar penggambaran turut dijalankan di Banting Selangor dan memakan masa sekitar 10 hari.

"Babak paling mencabar, bukan antara manusia, tetapi babak dengan kambing itu paling mencabar! Sebab kambing itu tidak datang sesi membaca skrip!" seloroh Shah, yang kali terakhir beraksi dalam drama terbitan Singapura sekitar empat tahun lalu, dalam Saga 2.0.

"Lepas babak kejar kambing, balik di set, mereka memang semua bau kambing. Nasib baik itu kambing biri-biri, kalau kambing kampung ada seminggu bau tak hilang!" celah Fauziah.

Namun bagi Suhaillah, babak bersama Fauziah Nawi, yang lebih selesa dipanggil Ibu, bukan sahaja paling mencabar, tetapi juga memberi kesan yang amat "sakit".

"Bila tenaga itu dah bergabung, Ibu dah cakap dan saya yang balas, bila dah duduk, berat sangat (babak itu).

"Sebab dia itu nenek saya. Jadi kalau nenek (yang cakap), sakitnya macam nak runtuh. Sakit dia, bila saya jalan, saya menggigil satu badan.

"Sebab memang kalau macam biasanya, orang akan pecah (air mata), kalau saya, memang saya dah meraung. Tapi dia macam lain, memang nak jatuh (air mata) tapi tak boleh jatuh, sebab dia membungkam macam itu, itu paling susah," luah Suhaillah.

PENGORBANAN YANG IKHLAS

Yang pasti, Tiga Hari Ke Korban dijangka memberi impak besar kepada penonton.

(Gambar: Mediacorp Suria)
Shah berkata: "Pengorbanan sebenarnya tak semestinya kita nampak, kadang-kala yang kita tak nampak, itu lebih bermakna."

Suhaillah menambah: "Pada saya pula, bagi pengorbanan orang yang kita sayang, kita tak akan dapat menilai dan tak akan nampak, sebab pengorbanan itu ikhlas.

"Sebab itu kita perlu menghargai ibu bapa kita, nenek datuk kita dan orang-orang yang terdekat sebab pengorbanan yang ikhlas, tidak akan dapat kita nampak."

Tiga Hari Ke Korban akan disiarkan di meWATCH dan saluran Suria pada Ahad (10 Jul), 9.30 malam.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa