Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tiba masanya berbakti kepada masyarakat khususnya rakan industri, tekad Hetty Koes Endang

Menyorot perjalanan hidup penyanyi legenda Indonesia ini, rasanya, tiada apa lagi yang perlu beliau kejar. Lima dekad bertakhta dalam belantara seni, Hetty Koes Endang, 64 tahun, sudah memiliki segala-galanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiba masanya berbakti kepada masyarakat khususnya rakan industri, tekad Hetty Koes Endang

Penyanyi legenda Hetty Koes Endang. (Gambar: Facebook/Hetty Koes Endang)

Diterbitkan : 25 Jun 2022 11:42AM Dikemas Kini : 25 Jun 2022 11:52AM
KUALA LUMPUR: Menyorot perjalanan hidup penyanyi legenda Indonesia ini, rasanya, tiada apa lagi yang perlu beliau kejar.

Lima dekad bertakhta dalam belantara seni, Hetty Koes Endang, 64 tahun, sudah memiliki segala-galanya.

Sebutlah apa sahaja - populariti, vokal emas, deretan anugerah - semuanya sudah berada dalam genggamannya.

Malah, dalam aspek kehidupan berkeluarga, tidak dinafikan, Hetty kini mendakap bahagia bersama suami dan sepasang cahaya mata serta seorang cucu.

Justeru, apa lagi Hetty, atau lebih mesra disapa 'Bunda', mahu capai dalam hidupnya?

PERMINTAAN SUAMI

Dalam wawancara eksklusif bersama BH Online, Hetty yang bertandang ke ibu negara Kuala Lumpur untuk mempromosikan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang - yang bakal dijayakan pada 27 Ogos depan - memberitahu bahawa sejajar dengan pengalaman ditimba, beliau memberi fokus kepada usaha untuk menyumbangkan sesuatu kepada dunia seni tercinta.

"Sepanjang lima dekad dalam industri seni, banyak yang sudah saya lakukan. Selain merakam 150 album merangkumi pelbagai genre, saya sudah mengadakan pelbagai persembahan dan konsert.

"Mungkin Konsert Jubli Emas yang akan dijayakan nanti menjadi konsert terakhir buat saya, yang bersifat komersil. Selepas ini, saya hanya terima undangan untuk membuat persembahan amal sahaja.

"Ini adalah permintaan suami saya yang mahu saya meluangkan lebih masa bersama cucu. Tetapi bukanlah bermakna konsert di Kuala Lumpur ini adalah konsert selamat tinggal.

"Sekarang adalah masa untuk saya berbakti kepada masyarakat terutama kepada rakan industri yang memerlukan selepas terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19," ujarnya kepada BH Online.

Tambah penyanyi lagu 'Kasih' itu, beliau tidak berkira dalam soal bayaran, malah, sedia menyanyi secara percuma asalkan bersyarat.

"Saya tidak kisah soal bayaran dan mungkin akan menyanyi secara percuma. Bagaimanapun, penganjur perlu bersikap telus. Usah disalah guna kepercayaan yang saya beri," tegasnya.

MAHU ANAK CIPTA LAGU UNTUKNYA

Sebagai tanda kenangan, Hetty melahirkan hasrat untuk merakamkan album duet bersama anak perempuannya, Afifah Qamariah.

"Impian saya ketika ini adalah untuk berkolaborasi dengan Afi (Afifah) dalam sebuah album. Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya mahu Afi mencipta lagu dan saya nyanyikannya.

"Moga impian saya untuk mempunyai sebuah album yang menampilkan kami anak-beranak akan tercapai," luah wanita yang tebal jiwa seninya itu.

KONSERT SEPATUTNYA DIANJURKAN DI INDONESIA

Berkongsi butiran konsert bagi meraikan lima dekad dirinya dalam persada seni, Hetty berkata acara itu sepatutnya dianjurkan di Jakarta dua tahun lalu, namun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

"Idea untuk mementaskan konsert di Kuala Lumpur tercetus ketika saya bertemu seorang teman lama yang juga penganjur konsert ini.

"Selepas berbincang, kami bersetuju menganjurkan konsert ini sekali gus melunaskan hasrat saya yang tertangguh.

"Konsert ini sangat istimewa kerana berlangsung dalam bulan Ogos. Ada empat momen manis yang berlaku pada bulan ini kerana ia bulan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia.

"Malah, Ogos juga adalah bulan kelahiran saya dan cucu pertama saya, Arlo Astrodistira Arsanda," katanya diikuti dengan deraian tawa.

Untuk konsert berdurasi dua jam itu, Hetty akan menghiburkan penonton dengan pelbagai genre lagu antaranya pop, dangdut dan keroncong, menurut BH Online.

Hetty akan sekali lagi bekerjasama dengan Ramli MS yang bertindak sebagai Pengarah Muzik untuk konsert itu nanti.

Dibawakan khas oleh Mahajaya Empire Sdn Bhd, Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang bakal berlangsung di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Tiket konsert boleh dibeli menerusi laman ilassoticket.com.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan