'Tiada syurga untuk anak yatim': Watak Upin & Ipin minta maaf atas dialog kontroversi
Watak Fizi daripada siri animasi popular, Upin & Ipin, mengotakan janjinya dengan memohon maaf atas kontroversi dialog dalam episod berjudul 'Syahdunya Syawal' yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia.
Petikan video permohonan maaf oleh watak Fizi dalam siri animasi Upin & Ipin, yang disiarkan oleh penerbit Les' Copaque Production Sdn Bhd di saluran Youtube.
KUALA LUMPUR: Watak Fizi daripada siri animasi popular, Upin & Ipin, mengotakan janjinya dengan memohon maaf atas kontroversi dialog dalam episod berjudul 'Syahdunya Syawal' yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia.
Video permohonan maaf itu disiarkan oleh penerbit, Les' Copaque Production Sdn Bhd, di saluran Youtube rasmi Les' Copaque Production Channel pada jam 4.00 petang Selasa (2 Jun).
Melalui video itu, lapor BH Online, Fizi memberitahu bahawa dia mengakui menyesal dengan keterlanjuran katanya kepada Upin dan Ipin. Video lebih lima minit tersebut juga menyelitkan sebahagian babak kontroversi yang dimaksudkan itu hinggalah sambutan Aidilfitri diraikan.
"Saya, Fizi... Berdirinya di sini untuk memohon maaf pada Upin dan Ipin. Fizi tak sengaja tersalah cakap hari itu.
"Lepas cubit dengan Mail, Fizi dah insaf. Jadi, janganlah marah Fizi lagi. Fizi sedih," ungkap Fizi menerusi video berkenaan. Upin dan Ipin turut memaafkan kekhilafan Fizi kerana mereka sahabat selamanya.
Pengarah siri drama Les' Copaque Production, Khairul Aimran Ibrahim, berkata pembikinan video permohonan maaf itu mengambil masa dua hari.
"Kami turut siar video permohonan maaf itu di semua platform rasmi di Facebook, Instagram (IG) dan Twitter dalam versi yang pendek," katanya kepada BH Online.
Ahad lalu (31 Mei), dialog dilafazkan Fizi dalam episod berkenaan - yang menyentuh persoalan di mana syurga untuk anak yatim - mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat siri animasi itu di Indonesia dan Malaysia. Dengan sepantas kilat, komen 'Fizi is cancelled' menjadi tular di laman sosial terutamanya Twitter.
Khairul Aimran atau Kim menjelaskan, sesuai dengan bulan Syawal yang menganjurkan umat Islam saling bermaaf-maafan, pihaknya berharap kesilapan Fizi dapat diampunkan.
"Peminat siri Upin & Ipin tahu karakter Fizi adalah ceria dan suka mengenakan kawan-kawan.
"Seperti Fizi selalu menyakat Ehsan dengan gelaran 'intan payung'. Ia sekadar panggilan manja Ehsan dan sering dijadikan modal untuk mengusik.
"Itu belum lagi melihat gelagat Fizi berpuasa separuh hari dan mengaku di depan cikgu dengan selamba," ujarnya.
Kontroversi timbul apabila dalam episod 'Syahdunya Syawal', menurut Kim, Fizi menyebut 'tiada ibu, tiada syurga buat Upin dan Ipin' hingga mengundang perbalahan netizen.
"Peminat tahu Upin dan Ipin adalah anak yatim. Pastinya kata-kata Fizi itu membuatkan hati mereka terguris.
"Namun, Fizi tidak berniat melukakan hati mereka," katanya.
Siri Upin & Ipin dilaporkan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.