Skip to main content

Hiburan

Tiada konsert tambahan Siti Nurhaliza di Singapura, dedah penganjur

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada konsert tambahan Siti Nurhaliza di Singapura, dedah penganjur

(Gambar: Instagram/SAH Entertainment)

Diterbitkan : 26 Jan 2024 09:45PM
SINGAPURA: Tiada tarikh tambahan akan diberikan bagi konsert Siti Nurhaliza 'Fenomena - Live In Singapore' yang akan berlangsung pada 29 Jun ini, menurut penganjur acara SAH Entertainment.

Ini selepas kesemua 5,000 tiket konsert itu habis dijual dalam masa 2 jam sebaik sahaja ia dilancarkan pada Rabu (24 Jan) lalu.

"Meskipun kami menerima respons yang sangat memberangsangkan, SAH Entertainment memilih untuk tidak menambah hari bagi konsert itu demi menjaga eksklusiviti persembahan seseorang artis itu," jelas SAH Entertainment.

Sebelum ini, tiket konsert 'Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' di Malaysia pada 9 Mac 2024 juga habis dijual dalam masa dua jam. Tiada tarikh tambahan diberikan bagi acara di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, yang boleh menampung 15,000 penonton.

Sebahagian peminat malah meninggalkan komen meminta agar menambah satu malam lagi untuk konsert tersebut.
8,000 ORANG MASIH MENUNGGU DI AKHIR PENJUALAN TIKET

Penjualan tiket bagi konsert Siti Nurhaliza 'Fenomena - Live In Singapore' dijual bak pisang goreng panas sehinggakan sistem tiket terpaksa berhenti beroperasi buat seketika.

Malah, penangan Siti Nurhaliza cukup hebat sehinggakan pihak SAH Entertainment dimaklumkan bahawa seramai 8,000 orang masih menunggu giliran merebut tiket pada akhir sesi penjualan tersebut.

SAH Entertainment berkongsi dengan BERITA Mediacorp: "Siti Nurhaliza, sebagai seorang penyanyi legenda, membenarkan kami memikul tanggungjawab bagi memastikan kedua-dua penyanyi dan peminat sama-sama terhibur pada malam konsert.

"Ia satu penghormatan untuk mendapat kepercayaan Siti Nurhaliza dan pasukannya untuk menjadikan 'Fenomena -Live In Singapore' satu kenyataan," menurut SAH Entertainment.

Yang pasti, pihak penganjur juga berasa amat terharu atas sokongan dan respons memberangsangkan daripada orang ramai.

"Kami pastinya secara konsisten berusaha untuk memastikan para hadirin menikmati pengalaman konsert mereka semasa acara-acara kami," tambahnya.

Konsert Siti Nurhaliza 'Fenomena - Live In Singapore' akan berlangsung pada 29 Jun 2024 di The Star Theatre pada 8.00 malam.

Tiket konsert dijual pada harga antara $88 hingga $288.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita