Teater muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! bakal dipentaskan Sep ini
Syarikat produksi animasi nombor satu Malaysia, Les’ Copaque Production Sdn Bhd bakal menganjurkan “Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” pada 3 dan 4 September 2022.

Majlis sidang media Teater Muzikal Upin & Ipin. (Gambar: BERNAMA)
Penganjuran teater itu adalah kerana sambutan yang amat mengalakkan pada pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin 10 tahun yang lalu.
Teater muzikal terbaru itu menampilkan pengisian yang berbeza dan menampilkan lakonan dan aksi kostum Upin, Ipin serta kawan-kawan dalam pengembaraan dunia penuh magik, “Pin Pin Pom!”. Teater ini akan menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta penggunaan LED skrin bagi memberikan impak luar biasa kepada pementasan tersebut.
Pementasan “Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” itu berdurasi lebih 1 jam dan ianya padat dengan aksi mendebarkan serta mencuit hati dengan lagu-lagu muzikal yang pasti membuatkan penonton terhibur dan turut menyanyi bersama-sama.
Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah dari lagu-lagu popular Upin & Ipin seperti “Gembira Bermain” dan beberapa lagu-lagu baru seperti lagu “Upin & Ipin Berani” dan “Pin Pin Pom!”.
Teater itu juga akan menampilkan beberapa watak baru yang pertama kali dimunculkan di pementasan teater seperti watak Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan. Teater itu dihasilkan oleh Les’ Copaque Production dan diuruskan bersama oleh syarikat Star Fotress Sdn Bhd.
“Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” ini akan dipentaskan di Dewan Plenary , Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 & 4 September 2022 dengan waktu persembahan pada 11.00 pagi, 3.00 petang dan 8.15 malam.
Peminat sudah boleh mula mendapatkan tiket dengan potongan harga 10 peratus di laman web Trip.com bermula dari 15 Jun sehingga 14 Julai 2022. Manakala bermula 15 Julai 2022, tiket akan kembali dijual kepada harga asal melalui laman web My.BookMyShow.com.
Les’ Copaque Production merancang untuk membawa “Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” menjelajah ke negara-negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.
SINOPSIS
Upin dan Ipin secara tidak sengaja terjumpa dan membawa pulang Batu Delima Sakti milik Nenek Kebayan. Nenek Kebayan yang mempunyai niat jahat untuk menakluki dunia magik, memerlukan kuasa dari Batu Delima Sakti tersebut. Upin dan Ipin bertukar menjadi Pahlawan Magik dan menentang Nenek Kebayan. Berjayakah Upin dan Ipin menghalang niat Nenek Kebayan dan melindungi dunia magik serta Kampung Durian Runtuh?
Tiket-tiket berharga antara RM100 (S$32) hingga RM320 (S$101).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.