Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! bakal dipentaskan di S'pura pada 18 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Les' Copaque Production Sdn Bhd menjadikan gergasi produksi hiburan dunia, The Walt Disney Company bukan sahaja contoh dan rujukan, malah sasaran dalam mempelbagaikan operasi syarikat.

Justeru langkah Les' Copaque Production mementaskan Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada hujung minggu lalu dianggap langkah awal membawa jenama Upin & Ipin ke persada antarabangsa melalui siri jelajah, lapor BH Online.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, berkata selain Malaysia, Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! akan dipentaskan di Singapura pada 18 Disember depan, disusuli Indonesia, tahun depan.

"Upin dan Ipin adalah salah satu karya yang bakal dibawa ke peringkat global untuk dijadikan produk antarabangsa.

"Seperti Disney, Les' Copaque berhasrat mengadakan siri jelajah watak kembar ini. Bagaimanapun, kos pementasan tinggi, jadi kami berharap sambutan bagus kerana mahu menjadikan jenama Upin dan Ipin sebagai satu acara tahunan atau dua tahun sekali.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung terhadap sambutan. Saya berterima kasih kepada penganjur di Singapura yang percaya kepada jenama Upin dan Ipin.

"Selama ini, mereka banyak mengadakan persembahan di Macau, Singapura, Hong Kong yang mana jenama persembahan diambil dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

"Kali ini, penganjur percaya kepada jenama Upin dan Ipin. Terima kasih," katanya kepada BH Online.

Encik Burhanuddin ditemui pada majlis tayangan media Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! di Dewan Plenari, KLCC pada Jumaat (2 Sep). 

Justeru, Encik Burhanuddin memerlukan sokongan pelbagai pihak agar jenama Upin & Ipin dapat berdiri sama tinggi bersama produksi animasi antarabangsa lain.

"Jenama Upin & Ipin adalah kebanggaan Malaysia. Saya tahu bukan senang untuk masyarakat memuji produk tempatan.

"Apabila pergi ke luar negara, barulah masyarakat akan pandang. Ada rakan ke Bali, Indonesia menyatakan berbangga apabila jenama Upin dan Ipin begitu terkenal di negara seberang.

"Tetapi, tiada pula berkata sedemikian bila di Malaysia, itulah senarionya. Jenama Upin dan Ipin begitu besar, tetapi orang Malaysia tak menghargainya. Inilah dilema masyarakat kita.

"Saya akan terus berusaha memaju dan membawa produk tempatan ke luar negara. Seterusnya, menjadikan jenama Upin & Ipin jadi kebanggaan negara," katanya.

Encik Burhanuddin berkata, penganjuran teater muzikal itu sepatutnya diadakan lebih awal selepas sambutan menggalakkan terhadap pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin di Istana Budaya pada 2012.

"Sebenarnya, perbincangan pementasan sudah diadakan 2019 sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19.

"Kami merancang membawa pementasan teater ke Indonesia, Singapura dan beberapa negara lagi.

"Saya dan pasukan sempat mengadakan sidang media di Indonesia, selepas perbincangan pementasan pertama di Indonesia. Namun, seluruh dunia melalui fasa sekatan selepas dua hari kepulangan saya. Segala perancangan terpaksa dibatalkan.

"Jadi, penganjur dari Singapura mahu meneruskan perancangan dan aktifkan pasukan kami. Alhamdulillah, peminat dapat lihat bagaimana perkembangannya nanti," katanya kepada BH Online.

Melihat pementasan yang sepanjang lebih kurang sejam itu, Encik Burhanuddin berbangga pengarah, Siti Rohaya Atan dan pasukannya mampu menghasilkan pementasan menghiburkan selepas dua bulan berlatih.

"Kali pertama menonton pementasan, saya dapat lihat penggiat seni tempatan dapat mengadakan persembahan sama dengan kualiti produksi antarabangsa.

"Jadi, penggiat seni tempatan juga mampu berbuat sedemikian. Terima kasih kepada isteri menghasilkan skrip dan seluruh pasukan yang bekerja keras dalam masa dua bulan untuk menjayakannya.

"Kerja agak mencabar menggunakan maskot kerana tak bercakap, hanya berlakon. Jadi, lakonan kena selaras dengan rakaman suara," katanya lagi.

Disebabkan itu, Encik Burhanuddin berkata, persembahan teater muzikal harus diaturkan dengan betul, jika tidak, pelakon memakai baju maskot boleh pengsan.

"Ekoran itu, kami menentukan masa rehat sebab nak buka baju maskot agar pelakon boleh bernafas.

"Ketika latihan, ada juga yang pengsan dan kami terpaksa atur semula skrip agar ada masa rehat.

"Maskot tiada muka, jadi semuanya dilihat daripada pergerakan. Dan, mereka berjaya menghasilkan pementasan yang menghiburkan," katanya.

Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! menampilkan lakonan dan aksi maskot Upin, Ipin dan enam sahabat dalam pengembaraan penuh magik.

Pementasan itu menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan dan penggunaan LED skin bagi memberikan impak luar biasa kepada muzikal berkenaan.

Lagu dipersembahkan pula dipilih menerusi lagu popular Upin & Ipin seperti Gembira Bermain dan beberapa lagu baru seperti Upin & Ipin Berani dan Pin Pin Pom!.

Pementasan ini juga menampilkan beberapa watak baharu yang kali pertama diketengahkan dalam pementasan teater seperti karakter Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.

Teater muzikal diterbitkan Les' Copaque Production dan diuruskan bersama Star Fotress Sdn Bhd.

Mengisahkan Upin dan Ipin secara tidak sengaja terjumpa dan membawa pulang batu delima sakti milik Nenek Kebayan.

Nenek Kebayan yang mempunyai niat jahat untuk menakluki dunia magis memerlukan kuasa daripada batu delima sakti. Upin dan Ipin kemudian bertukar menjadi Pahlawan Magik dan menentang Nenek Kebayan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan