Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Taufan' Taylor Swift: Hotel, syarikat penerbangan SG lihat lonjakan 30% permintaan serantau bagi 6 pertunjukan

Anggaran Waktu Membaca:
'Taufan' Taylor Swift: Hotel, syarikat penerbangan SG lihat lonjakan 30% permintaan serantau bagi 6 pertunjukan

Penyanyi Taylor Swift membuat persembahan di Nashville, Tenn., pada 5 Mei 2023. (Gambar fail: George Walker IV/AP)

SINGAPURA: Bintang pop Amerika Taylor Swift belum tiba di Singapura, namun bahang kepada persinggahan yang bakal dilakukan di sini sudah dapat dirasakan dan kesannya mungkin meluas.

Hotel dan syarikat penerbangan memberitahu Mediacorp bahawa permintaan bagi tiket penerbangan dan penginapan pada tarikh konsert Taylor Swift melonjak 30 peratus.

Awal minggu ini, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia menyediakan geran untuk membantu membawa konsert jelajah dunia Taylor Swift ke negara ini bulan depan, satu-satunya persinggahan di Asia Tenggara buat beliau.
Namun, apakah manfaat kepada ekonomi temaptan dan adakah ia wajar dari segi ekonomi bagi negara ini untuk memberi geran?

Menurut seorang pakar, konsert Taylor Swift di Singapura boleh meraih pendapatan sekitar atau lebih daripada anggaran A$1.2 bilion (S$1.1 bilion) dalam nilai ekonomi ketika beliau berada di Melbourne.

Singapura adalah salah satu daripada dua persinggahan Taylor Swift di Asia, selepas mengadakan empat pertunjukan di Tokyo awal bulan ini. Tiket bagi kesemua enam konsert beliau di sini yang bermula pada 2 Mac, laris dijual.

Lebih 300,000 tiket sudah dijual, dengan jumlah "tinggi" peminat dari negara lain, dedah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan STB.

TEMPAHAN PENERBANGAN, PENGINAPAN MELONJAK

Permintaan bagi penerbangan ke Singapura bagi kedua-dua Singapore Airlines dan Scoot melonjak pada Mac, terutama dari Asia Tenggara, dedah syarikat penerbangan itu.

Jetstar Asia menyatakan permintaan melonjak 20 peratus bagi laluan menghubungkan destinasi seperti Bangkok, Manila dan Jakarta ke Singapura, semasa tempoh pertunjukan Taylor Swift diadakan.

Hotel yang dihubungi Mediacorp menyatakan mereka juga menyaksikan permintaan bagi penginapan melonjak.

Cavaliere Giovanni Viterale, pengurus besar kelompok Raffles Sentosa Singapore dan Sofitel Singapore Sentosa Resort & Spa berkata, apabila terdapat konsert yang menampilkan penghibur terkenal di peringkat antarabangsa seperti Taylor Swift, peminat mereka menyumbang dengan "ketara" kepada tempahan hotel.

Encik Viterale menambah bahawa sebahagian besar tempahan berasal dari Asia Tenggara.


CIRI EKSKLUSIF MUNGKIN MERUBAH PERMAINAN

Penyediaan geran untuk membawa penghibur bukanlah perkara yang baharu, kata Encik Christopher Khoo, pengarah urusan perundingan pelancongan MasterConsult Services.

Geran sedemikian diberikan untuk menggalakkan pembangunan pelancongan ke arah "tertentu", kata Encik Khoo, yang berkhidmat di STB selama 15 tahun.

Encik Joshua Loh, pengerusi kursus Diploma Pengurusan Pelancongan & Resort di Politeknik Ngee Ann, berkata bahawa ia adalah perkara "biasa" untuk satu-satu destinasi menawarkan insentif kewangan untuk dapat menganjurkan acara besar-besaran.

Insentif tersebut mungkin termasuk geran kewangan yang biasanya berdasarkan peratusan kos kelayakan seperti pengeluaran acara, pemasaran, perkhidmatan profesional, katanya.

Dengan mengurangkan kos, geran tersebut berpotensi untuk meningkatkan harga tiket atau lebih banyak pertunjukan, yang pada akhirnya meningkatkan pendapatan artis, tambah Dr Samer Elhajjar, pensyarah kanan pemasaran dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).

STB, yang memetik kerahsiaan perniagaan, enggan menjawab soalan daripada Mediacorp tentang sama ada geran tersebut pernah diberikan pada masa lalu, dan pertujukan mana satu yang diberikan.

Berdasarkan konsert Taylor Swift yang lalu, ia merupakan sumber pendapatan yang besar.

Lawatan Taylor Swift di Australia mungkin menjana nilai ekonomi A$1.2 bilion (S$1.1 bilion) di Melbourne, di mana dia mengadakan tiga pertunjukan awal pada bulan ini, kata Datuk Bandar Melbourne, Sally Capp.

Encik Khoo berkata jumlah hasil yang diraih di Singapura mungkin serupa dengan jumlah di Melbourne, atau lebih.

Sekalipun demikian, Dr Elhajjar berkata bahawa memandangkan kedudukan Taylor Swift, konsertnya di Singapura boleh menjana "pendapatan besar", yang mungkin menghasilkan "berjuta-juta dolar".
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan