Tajuk filem Star Wars IX didedahkan
Lucasfilm menggembirakan para peminat Star Wars (12 Apr) dengan kemunculan raut wajah Carrie Fisher dalam klip promosi episod terakhir filem cereka angkasa lepas itu, lebih dua tahun sejak pemergian pelakon tersebut.

Watak Rey dalam petikan filem Star Wars IX: The Rise of Skywalker (Gambar: Lucasfilm via AP)
CHICAGO: Lucasfilm menggembirakan para peminat Star Wars (12 Apr) dengan kemunculan raut wajah Carrie Fisher dalam klip promosi episod terakhir filem cereka angkasa lepas itu, lebih dua tahun sejak pemergian pelakon tersebut.
Pengarah filem, JJ Abrams memberitahu para hadirin di satu acara Star Wars di Amerika Syarikat bahawa para penulis berfikir panjang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada watak kegemaran ramai yang dijayakan oleh mendiang Fisher, iaitu Jeneral Leia Organa, dalam filem kesembilan yang diberi judul Star Wars IX: The Rise Of Skywalker.
"Setiap hari saya masih terasa kehilangan beliau, namun kami seperti tidak percaya kami masih dapat 'bekerjasama' dengan beliau... beliau muncul dalam beberapa babak," Abrams memberitahu para peminat yang ternyata begitu teruja di acara lima hari di Chicago itu.
Trailer pertama filem itu ditayangkan buat kali pertama di perhimpunan tersebut - dan disiarkan di internet - sekaligus memperkenalkan kembali watak-watak "generasi baru" daripada tiga filem terakhir sejak filem asal pada 1977, Star Wars IV: A New Hope.
Malah klip video selama dua minit itu mendapat sambutan begitu hangat sehinggakan wadah media sosial Twitter terganggu dan tidak berfungsi sebentar ekoran perbualan hangat mengenai filem terbaru Star Wars itu, menurut laporan laman Mashable.
Watak-watak yang ditampilkan dalam klip itu termasuk Lando Calrissian, yang dijayakan pelakon asal Billy Dee Williams, dan suara pelakon Mark Hamill - pemegang watak 'hero' asal Luke Skywalker - yang kelihatan sudah mati dalam filem terakhir, namun dipercayai ramai akan tetap memainkan peranan dalam filem terbaru itu.
"Tiada sesiapa yang menghilang begitu saja," menurut suara latar Skywalker, sedang Leia dilihat memeluk watak Rey, yang dimainkan pelakon Inggeris, Daisy Ridley. Rey adalah watak utama dalam tiga filem terbaru saga Star Wars.
Bercakap di perbincangan panel bagi acara itu, Abrams mendedahkan filem tersebut sedang dalam peringkat pasca penerbitan.
Selain Ridley, barisan pelakon yang akan kembali bagi episod terakhir trilogi itu termasuk Adam Driver, John Boyega, Oscar Isaac, Lupita Nyong'o, Domhnall Gleeson, Kelly Marie Tran dan Joonas Suotamo.
Pelakon Naomi Ackie dan Richard E Grant adalah antara wajah-wajah baru dalam filem itu. Manakala pelakon mapan Star Wars Anthony Daniels kembali sebagai robot C-3PO dan Ian McDiarmid dijangka kembali lagi sebagai watak jahat Emperor Palpatine.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.