Skip to main content

Hiburan

Syarikat teater Pangdemonium bakal ditutup pada 2026 selepas lebih 15 tahun beroperasi

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat teater Pangdemonium bakal ditutup pada 2026 selepas lebih 15 tahun beroperasi
Pengasas bersama Pangdemonium Tracie dan Adrian Pang umumkan syarikat teater mereka akan ditutup pada hujung musim 2026. (Gambar: Pangdemonium)
Diterbitkan : 02 Feb 2026 06:00PM Dikemas Kini : 03 Feb 2026 10:08AM

SINGAPURA: Pengasas bersama Pangdemonium, Tracie dan Adrian Pang, mengumumkan pada Isnin (2 Feb) bahawa syarikat teater tersebut akan "mengundurkan diri" sepenuhnya pada penghujung musim 2026.

Dalam satu kenyataan bersama di laman syarikat, pasangan tersebut menyatakan mereka akan meninggalkan syarikat itu selepas lebih 15 tahun beroperasi: “Setelah mempertimbangkan segala pilihan, kesan, dan akibat bersama Lembaga Pengarah kami, kami memutuskan bahawa jalan yang paling realistik dan bijak adalah untuk Pangdemonium menamatkan perkhidmatannya sebagai syarikat teater, badan amal berdaftar, dan Institusi Bertaraf Awam (IPC) pada penghujung Musim 2026.”

Ditubuhkan pada tahun 2010, Pangdemonium bermula sebagai perniagaan keluarga sebelum berkembang menjadi salah satu syarikat teater paling terkenal di Singapura. Mereka dikenali kerana menghasilkan pementasan kontemporari yang bermutu tinggi, muzikal, dan adaptasi teks antarabangsa mengikut konteks Singapura. Mereka juga merupakan syarikat teater tempatan pertama yang memperkenalkan sistem tiket bermusim secara tahunan.

Keputusan itu dibuat berikutan cabaran berterusan dalam industri teater, terutamanya selepas pandemik. Tracie dan Adrian Pang menjelaskan beberapa faktor utama yang mendorong keputusan ini termasuk kos pengeluaran teater yang melambung tinggi, ketidaktentuan ekonomi dunia dan perubahan tabiat penonton.

“Selepas berfikir panjang dan menilai perjalanan kami sehingga kini, kami membuat keputusan ini,” kata mereka. Tambah mereka lagi, mereka mahu menamatkan kisah Pangdemonium mengikut cara mereka sendiri, dengan penuh maruah, dan semasa mereka masih lagi mencintai dunia teater ini.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada penonton, penaja, penderma, agensi awam termasuk Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Seni Kebangsaan (NAC), dan seluruh keluarga Pangdemonium atas sokongan selama hampir 16 tahun ini. Mereka menyifatkan peluang menjadi sebahagian daripada "Kisah Singapura" sebagai satu penghormatan besar.

Pangdemonium mempunyai tiga pementasan terakhir yang dirancang untuk tahun 2026:

- Force Majeure (Mac)

- A Mirror (Jun)

- Come From Away (September)

Menurut bahagian soalan lazim (FAQ) di laman mereka, tiket musiman masih sah untuk semua pertunjukan tersebut.

"Kami bertemu dan mengadakan perbincangan terbuka dengan Pangdemonium untuk meneroka kesinambungannya. Akhirnya, kami menghormati keputusan Adrian dan Tracie Pang untuk menghentikan operasi Pangdemonium pada hujung 2026 atas sebab peribadi.

"Majlis Seni Kebangsaan (NAC) sudah menyokong Pangdemonium sejak 2017 sedang ia berkembang menjadi sebuah syarikat teater yang kukuh dari segi kewangan dan mendapat pengiktirafan di Singapura.

"Sokongan kami kepada Pangdemonium kekal teguh, dan tumpuan kolektif kami kini adalah peralihan yang lancar.

"Kami secara aktif akan memadankan kakitangan yang terjejas dengan peluang kerjaya baharu untuk mengekalkan kepakaran mereka dalam sektor ini.

"Kami tetap komited untuk memupuk ekosistem teater bertenaga yang Pangdemonium bantu membinanya.

"Walaupun Pangdemonium mengakhiri perjalanan mereka pada puncak kejayaannya, legasi kecemerlangannya akan diabadikan.

"Kami mempelawa orang ramai untuk sama-sama meraikan musim terakhir syarikat ini dan mengucapkan terima kasih kepada Adrian dan Tracie atas sumbangan besar mereka kepada landskap budaya kita," kata CEO NAC Low Eng Teong.

Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita