Skip to main content

Hiburan

Syarif bakal tampil ‘aura baru’ dalam showcase solo Pesta Raya Esplanade

Selepas lima tahun menyepi, Syarif bakal menemui peminat di Singapura dengan mengadakan ‘showcase’ solonya yang pertamanya pada 28 Jun ini.  

Anggaran Waktu Membaca:
Syarif bakal tampil ‘aura baru’ dalam showcase solo Pesta Raya Esplanade

(Gambar-gambar: Syarif)

Diterbitkan : 20 May 2019 10:48PM Dikemas Kini : 20 May 2019 11:07PM

BERITAmediacorp: Selepas lima tahun menyepi, Syarif bakal menemui peminat di Singapura dengan mengadakan ‘showcase’ solonya yang pertamanya pada 28 Jun ini.

Adakah showcase yang bakal bertempat di Esplanade Annexe Studio sempena Pesta Raya anjuran Esplanade ini menjadi satu petanda bahawa beliau sudah bersedia untuk membuat ‘comeback’ setelah berehat sebagai seorang penyanyi selama 5 tahun?

Showcase bertajuk ‘Syarif - Dan Seterusnya’ menjadi pilihan penyanyi ini yang dahulunya menganggotai kumpulan SleeQ tetapi kini bergerak secara solo pula.

Dalam wawancara eksklusifnya bersama BERITAmediacorp, Syarif turut mendedahkan bahawa perjuangannya dalam dunia hiburan tetap akan diteruskan semata-mata kerana cintanya kepada muzik meskipun SleeQ sudah dibubarkan.

“Ini debut show saya sebagai solo artis, orang pun nak tau apa perkembangan Syarif dalam bidang muzik, ramai yang bertanya di IG sama ada saya tak nak menyanyi lagi ke, bila ada single baru? Menyanyi adalah sesuatu yang tak dapat saya lupakan. Tajuk (showcase) itu adalah satu penceritaan. Saya ceritakan perkembangan Syarif, pengalaman Syarif.”

MENGAPA MENYEPI SAMPAI 5 TAHUN?

Related article image
(Gambar-gambar: Syarif)

Pelakon berbakat ini turut berkongsi bahawa beliau memutuskan untuk ‘berehat’ daripada bidang nyanyian selama 5 tahun kerana mahu memberikan tumpuan kepada keluarga serta perniagaan beliau iaitu Chulop!By The Syarifs.

“Saya baru nak tubuhkan Chulop menjual churros, anak saya pun baru dilahirkan ketika itu. Passion saya (menyanyi) masih ada tapi fokus saya lari sekejap pada keluarga dan bisnis saya,” dedah Syarif kepada BERITAmediacorp.

Meskipun sedang ‘berehat’ ketika itu, beliau sebenarnya tidak berdiam diri sebaliknya giat mencari penerbit yang boleh bekerjasama dengannya untuk album solonya nanti yang bakal diedarkan pada tahun depan. Pencariannya berhasil apabila berjaya mendapatkan penerbit yang serasi untuk bekerja dengannya iaitu Trisno Ishak, bekas penyanyi kumpulan Urban Xchange yang turut menjadi pengarah muzik untuk showcase Syarif nanti.

SENTUHAN TRISNO ISHAK DIHARAP BAWA KEJUTAN

“Dia faham muzik apa yang saya inginkan. Dia adalah pemuzik dan penyanyi yang sudah lama dalam industri ini. Latar belakang muzik dia adalah soul, R&B dan jazz. Susah nak dapat artis yang betul-betul ada pengetahuan muzik tentang jazz, R&B dan soul di Singapura. Saya dah berkawan dengan dia dah 5 hingga 6 tahun, keserasian pun dah ada.”

Untuk showcase di Esplanade kelak, Syarif akan menampilkan muzik yang ditakrifkannya sebagai sesuai dengan penampilannya sekarang. Sebelum ini, Syarif bersama SleeQ sinonim dengan muzik yang berunsur hip-hop dan urban.

Apakah yang dimaksudkan sebagai ‘mentakrifkan semula’ muziknya? Ini penjelasan Syarif: “Apa yang saya maksudkan ialah ‘’redefine“ cinta saya pada muzik R&B dan hip-hop. Cuma kali ini, saya akan bersama seorang lagi komposer dan memberi tumpuan kepada R&B dan soul. Lebih matang sedikit. Saya akan buat “rebranding” muzik saya sebagai satu pengenalan setelah 5 tahun. Usia saya 30 pada tahun ini. I need to grow”, luah Syarif secara jujur.

MUNCUL DI PENTAS DENGAN IRINGAN LIVE BAND

Related article image

Istimewa untuk peminat-peminat yang bakal menghadiri showcasenya nanti, Syarif akan muncul bersama sebuah ‘live band’ buat julung-julung kalinya. Selain menyumbang tenaga sebagai pengarah muzik, Trisno juga akan menjadi gitaris bagi live band yang bakal mengiringi Syarif untuk persembahan selama sejam jam itu. Sambung penyanyi itu kepada BERITAMediacorp.

“Itu dengan sendirinya adalah satu kelainan. Dari dulu saya memang suka buat persembahan dengan live band.”

Selain menjanjikan elemen kejutan pada malam tersebut, beliau juga dijangka akan membawakan lagu-lagu barunya meskipun ia belum dilancarkan lagi. Lagu-lagu popular ketika bersama SleeQ juga akan diselitkan meskipun beliau akan membawakannya secara solo.

Apakah beliau akan merasa canggung apabila menyanyi solo di atas pentas nanti memandangkan beliau sering beraksi secara duo sebelum ini?

“Mungkin, sebab dulu saya selalu buat persembahan dengan Alif sejak dari remaja lagi. Lebih dari 10 tahun tapi dari sudut positif, saya tidak sabar untuk showcase saya sebagai artis solo.

Saya harapkan yang terbaik untuk malam itu”, kongsi Syarif kepada BERITAmediacorp.

Dalam wawancara eksklusif ini, Syarif turut mendedahkan bahawa perjalanan muzik beliau sekarang tidak "agresif” seperti bersama SleeQ dulu.”

“Apa yang penting ialah saya membuatnya untuk cinta saya terhadap muzik. Saya nak pengikut-pengikut yang telah lama mengikuti saya untuk menikmati muzik saya sekarang ini. Saya rasa teruja tapi gementar juga sebab penonton tentunya akan bertanya-tanya show apakah yang akan ditampilkan nanti. Ini adalah peluang yang diberikan Esplanade untuk saya tonjolkan diri sebagai artis solo. Saya nak lakukan yang terbaik.”

SINGLE TERBARU TEMUI PEMINAT BULAN DEPAN

Syarif turut merancang untuk menghadiahkan sebuah album penuh menerusi album solo beliau pada tahun depan dengan lagu-lagu ciptaan beliau bersama Trisno Ishak. Single terbarunya akan diedarkan seminggu sebelum showcasenya pada 28 Jun.

Tiket-tiket berharga S$27 untuk ‘Syarif - Dan Seterusnya’ boleh didapatkan melalui www.esplanade.com/pestaraya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita