Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Syamsul Yusof, Puteri Sarah gagal capai persetujuan berpisah secara baik

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Syamsul Yusof dan isteri pertamanya, Puteri Sarah, gagal mencapai persetujuan untuk berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini (18 Apr).

Peguam syarie Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memaklumkan kepada Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas bahawa kedua-dua pihak (Puteri Sarah dan Syamsul) berbincang mengenai terma penyelesaian, namun gagal mencapai persetujuan.

"Usaha untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga secara baik tidak berjaya. Oleh itu, saya mohon mahkamah membacakan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pihak-pihak terlibat sebelum mahkamah mengambil tindakan sewajarnya," katanya yang turut memohon supaya prosiding diteruskan dengan pelantikan hakam.

Hari ini ditetapkan untuk Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39 tahun, melafazkan talak terhadap Puteri Sarah, 38 tahun, atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selepas pasangan berkenaan mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara baik dan aman.

Sementara itu, peguam syarie Azmi Mohd Rais, yang mewakili Syamsul mengesahkan usaha untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik tidak berjaya setelah draf perjanjian yang diserahkan kepada Puteri Sarah pada prosiding sebelum ini dipinda oleh wanita itu.

Menurut Encik Azmi, pihaknya mendapati terdapat beberapa perubahan dalam draf penjanjian dibuat oleh Puteri Sarah antaranya beliau masih ingin meneruskan kes saman sivil terhadap isteri kedua Syamsul, Ira Kazar atau nama sebenarnya Faghira Fatini dan keluarganya.

"Puteri Sarah juga menuntut mutaah tinggi dan beberapa aset lain yang tidak dipersetujui oleh anak guam saya," kata peguam itu.

Mengenai permintaan peguam Encik Akberdin untuk meneruskan prosiding di peringkat hakam, Encik Azmi berkata pihaknya membantah kerana sesi JKP tidak dikendalikan dengan sempurna disebabkan prosiding itu dilaksanakan secara berasingan.

"Pihak-pihak serta wakil Puteri Sarah tidak berjumpa dengan Syamsul dan wakilnya kerana wanita itu enggan berjumpa dengan suami serta perkara itu diakui oleh Puteri Sarah menerusi TikToknya.

"Hakikatnya, sesi JKP itu berjalan secara berasingan… matlamat JKP adalah supaya wakil-wakil yang dilantik memujuk suami isteri untuk berdamai semula sebagai suami isteri, tetapi ia tidak berlaku.

“Saya cadangkan supaya sesi JKP dibuat sekali lagi kerana kami tidak berpuas hati dengan pengendalian JKP itu. Yang Arif mempunyai kuasa untuk memecat JKP sebelum ini dan melantik JKP baru," katanya dan mendakwa prosiding JKP itu tidak sempurna.

Mengenai dakwaan bahawa prosiding JKP dibuat secara tidak sempurna, Encik Akberdin berkata peguam defendan (Syamsul) tidak boleh membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

"Beliau tidak berada di situ semasa prosiding JKP itu berjalan, saya pun tidak berada di situ. Jadi beliau tidak boleh membuat kesimpulan prosiding itu adalah cacat," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei depan untuk memanggil pengerusi JKP bagi memberi penjelasan berhubung prosiding JKP yang dijalankan.

Pada 16 Januari lepas, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Pasangan itu yang berkahwin pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua anak, Shaikul Islam, 6 tahun, dan Sumayyah, 4 tahun.

Pada 6 Jan lepas, Syamsul mendedahkan beliau sudah bernikah dengan Ira dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata kes saman difailkannya terhadap Ira akan tetap diteruskan walaupun Syamsul memintanya menarik balik saman tersebut selain pelakon drama "Andai Itu Takdirnya" itu tidak bersetuju apabila suaminya meminta nafkah dua anak mereka, dikurangkan 30 peratus.

"Hari ini tiba-tiba nak diskaun, saya tak akan berganjak, demi anak-anak, saya sanggup berjuang. Saya tidak minta harta sepencarian dan apa yang saya minta hanya untuk anak-anak," katanya yang memakai busana serba putih.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan