Susutkan berat badan kerana filem baru, usaha Shaheizy Sam buahkan hasil
Menjayakan sesuatu watak dengan baik, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perubahan pada bentuk badan sememangnya bukanlah mudah.

(Gambar: Shaheizy Sam Samad/Facebook)
KUALA LUMPUR: Menjayakan sesuatu watak dengan baik, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perubahan pada bentuk badan sememangnya bukanlah mudah.
Namun pelakon Malaysia, Shaheizy Sam sanggup menurunkan berat badan beliau secara mendadak bagi menjayakan watak Naufal dalam filem 'Pinjamkan Hatiku'.
Usahanya itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) baru-baru ini, lapor Astro Awani.
Dalam filem itu, Shaheizy memainkan watak seorang lelaki yang menderita akibat penyakit barah tahap empat.
Astro Awani menukil Shaheizy sebagai berkata: "Pada awalnya, saya lakukan perkara tersebut untuk kepuasan tersendiri. Usaha saya berbaloi. Saya berterima kasih kepada penerbit, pengarah serta rakan pelakon lain seperti Ayda Jebat, Datuk Farid Kamil, Normah Damanhuri dan ramai lagi serta semua tenaga produksi filem Pinjamkan Hatiku ini," kata Sam.
Sam menewaskan empat finalis lain iaitu Faizal Hussein (Dukun), Rosyam Nor (KL Special Force), Remy Ishak (Pulang) dan Jalil Hamid (Bisik Pada Langit).
"Saya sendiri tak sangka saya menang. Lihat sahaja senarai Top 5, semuanya berpengalaman dan berbakat besar. Saya rasakan ini merupakan rezeki buat saya.
"Terima kasih kepada barisan juri yang menghargai bakat saya dan merasakan saya layak untuk merangkul trofi ini. Mungkin ada sebab tersendiri mengapa saya dipilih," kata Shaheizy ketika ditanya perasaannya apabila menewaskan empat pelakon lain, seperti yang dipetik oleh Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.