Suki Low kembali bersinar selepas sedekad tinggalkan dunia hiburan
Gambar: Facebook/Suki Low
KUALA LUMPUR: Segala-galanya bagai asing buat penyanyi Suki Low, 32 tahun. Beliau kembali semula selepas sedekad meninggalkan dunia hiburan.
Paling ketara, media sosial bukan sahaja menjadi kayu ukur populariti seseorang artis, malah, menjadi platform buat netizen untuk meluahkan segala perasaan terbuku di hati termasuk kecaman terbuka terhadap mereka yang bergelar selebriti.
Meskipun bersikap terbuka dan memahami permainan dunia siber hari ini, Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee mengharapkan, netizen lebih bertimbang rasa dalam menzahirkan pandangan.
"Sejujurnya, saya membaca komen netizen yang cuba membanding-bandingkan saya dengan penyanyi lain. Perbuatan seperti ini membuatkan saya kekok dan segan.
"Tak rugi jika kita tulis benda yang baik-baik. Saya sendiri sangat menghargai setiap kritikan membina yang diberikan. Teguran dibuat secara positif secara tidak langsung membuatkan rasa lebih bersemangat untuk memperbaiki kelemahan," katanya kepada BH Online.
Sepanjang enam tahun berada dalam belantara muzik sebelum memperlahankan pecutan kerjaya seni, juara program realiti, One In A Million musim pertama itu pernah terkena tempias kontroversi sehingga mencalarkan reputasinya.
Pelbagai gosip panas mengiringi kerjaya seni Suki yang ketika itu masih berusia 16 tahun.
Kini, selepas 10 tahun hidup tenang menguruskan keluarga dan menjalankan perniagaan sendiri, Suki terpaksa menerima hakikat yang gerak-geri serta apa sahaja dilakukan pasti kembali menjadi perhatian masyarakat.
Mengakui sudah bersedia berdepan dengan cabaran itu, pemenang trofi Bintang Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) ini percaya, pengalaman masa lalu menjadi benteng untuk lebih berhati-hati, seperti dinukil BH Online.
"Sebagai ibu yang mempunyai tiga cahaya mata yang semakin membesar, sudah tentu saya mahu menunjukkan contoh yang terbaik. Anak sulung, Ethan kini berusia 8 tahun dan sudah boleh membaca, lapor BH Online.
"Saya tidak mahu Ethan membaca perkara buruk mengenai ibunya. Sebelum berlaku, saya akan cuba mengelak daripada terpalit dalam apa juga situasi yang boleh mengaitkan saya dengan kontroversi.
"Jika saya ada tersalah kata atau perbuatan, sila tegur saya. Saya boleh terima," luah penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Terlalu Menyintaimu.
Kemunculan Suki sebagai peserta program Gegar Vaganza musim kelapan berjaya membuatkan namanya kembali mewangi dan menjadi sebutan peminat.
Lebih mengagumkan Suki mempamerkan persembahan konsisten sehingga berjaya ke peringkat akhir, seterusnya menduduki tempat ketiga sepanjang 10 minggu berada dalam program realiti itu.
Enggan menyifatkan kemunculannya sebagai 'comeback', Suki sebaliknya kini ingin kembali merancakkan kerjaya seni dengan penjenamaan baru, lapor BH Online.
"Banyak perkara sudah dirancang untuk 2022 ini. Lebih menggembirakan, ada syarikat rakaman sudah melamar saya," dedah penyanyi yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.
Selain sibuk menguruskan keluarga, Suki juga menjalankan perniagaan menjual kek dan menggubah bunga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.