Skip to main content

Hiburan

Sufie Rashid kongsi pengalaman bawa artis ternama ke pentas SG

Hanya 10 tahun lalu, seorang anak muda bernama Sufie Rashid mencipta sejarah apabila beliau menjadi peserta Singapura pertama yang memenangi pertandingan Akademi Fantasia edisi 2015, rancangan realiti televisyen Malaysia yang popular dan pernah melahirkan artis-artis seperti Vince dan Mawi.

Anggaran Waktu Membaca:
Sufie Rashid kongsi pengalaman bawa artis ternama ke pentas SG

Sufie Rashid bercakap kepada pihak media pada 7 Julai 2025. (Gambar: CNA/Hazeeq Sukri)

SINGAPURA: Hanya 10 tahun lalu, seorang anak muda bernama Sufie Rashid mencipta sejarah apabila beliau menjadi peserta Singapura pertama yang memenangi pertandingan Akademi Fantasia edisi 2015, rancangan realiti televisyen Malaysia yang popular dan pernah melahirkan artis-artis seperti Vince dan Mawi.

Kemenangan itu membuka jalan bagi Sufie sebagai seorang penyanyi yang berjaya dalam industri muzik Melayu. Buah tangannya yang berjudul Aku Sanggup meraih pujian pada 2016 serta pelbagai kemenangan di acara-acara anugerah termasuk Anugerah Planet Muzik.

Kini, sedekad kemudian, penyanyi berusia 34 tahun itu terus mencuri perhatian dunia hiburan – namun dalam bentuk berbeza. Menggantikan lagu dengan lembaran data, Sufie kini sibuk menguruskan SAH Entertainment – sebuah syarikat acara langsung yang berpangkalan di Singapura, yang diasaskannya pada 2022.
Penyanyi Amerika Syarikat, Ne-Yo, membuat persembahan di festival muzik Rock in Rio di Rio de Janeiro pada 2024. (Gambar: AP/Bruna Prado)
Walaupun masih agak baharu, SAH Entertainment sudah menganjurkan acara berskala besar, termasuk konsert artis-artis terkenal serantau dan antarabangsa seperti pemenang Grammy, Ne-Yo, ikon muzik Malaysia, Siti Nurhaliza, dan ahli kumpulan BigBang, Daesung. Ogos ini, syarikat itu akan menganjurkan konsert kumpulan hip hop Black Eyed Peas di Stadium Tertutup Singapura.

“Sejak kecil lagi memang impian saya untuk menganjurkan festival,” kata Sufie kepada Mediacorp bulan lalu.

Selepas pandemik, Sufie “mengambil langkah berani” dengan menganjurkan konsert pertamanya, iaitu persembahan oleh kumpulan popular Indonesia, Ungu. Tiketnya habis dijual dalam masa dua jam, mendorong Sufie menambahkan kapasiti tempat duduk bagi konsert tersebut.

Susulan kejayaan itu, SAH Entertainment meneruskan momentumnya dengan persembahan kumpulan-kumpulan Indonesia seperti Wali Band dan ST 12.

Namun, titik perubahan besar berlaku pada 2023 apabila syarikat itu membawa legenda R&B Ne-Yo untuk mengadakan konsert pertamanya di Singapura. Dalam masa tiga jam selepas jualan umum dibuka, kesemua 5,000 tiket di The Star Theatre habis dijual.

Kejayaan tersebut membawa kepada kembalinya Ne-Yo pada tahun berikutnya untuk jelajah Champagne & Roses, yang juga dianjurkan SAH Entertainment. Kali ini, tiket habis dijual dengan begitu cepat sehingga satu persembahan tambahan diadakan.

Sufie tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana beliau berjaya mendapatkan Ne-Yo pada awalnya, namun mengakui bahawa ia “tidak mudah”.

Namun, Sufie menjelaskan bahawa maklum balas yang positif membantu kejayaan beliau yang seterusnya.

“Ia sentiasa tentang hubungan yang kami ada dengan artis lain dan saranan (yang datang daripada mereka),” kata Sufie.

Malah, kejayaan konsert Ne-Yo mendorong pihak pengurusannya untuk menyarankan SAH Entertainment kepada pasukan Black Eyed Peas.

Walaupun begitu, Sufie mengakui bahawa penganjuran konsert memerlukannya menempuhi “banyak cabaran, melakukan pertimbangan dan membuat keputusan”.
Sufie Rashid meninjau sesi latihan kumpulan Indonesia D’Masiv menjelang konsert mereka pada Julai 2025. (Gambar: CNA/Hazeeq Sukri)
“Ia bukan hanya tentang siapa yang saya mahu bawa atau senarai lagu artis itu atau popularitinya,” ujar Sufie.

“Kami perlu pertimbangkan banyak perkara seperti penerbitan, kos penerbitan dan keperluan artis.”

Sebelum memutuskan untuk menganjurkan konsert, pasukannya akan mengira kos penerbitan, unjuran untung-rugi dan kemungkinan tiket dapat dijual dengan laris.

“Cara paling mudah untuk menyebutkannya ialah ‘Bolehkah artis itu jual tiket?’. Industri ini berisiko tinggi. Ia memerlukan modal besar untuk dimulakan dan jika gagal, ia boleh memberi kesan besar,” kata Sufie.

Beliau mendedahkan bahawa ada artis yang mereka bawa “mempunyai pengikut besar di negara lain tetapi malangnya tidak di Singapura”.

Encik Sufie juga berkata bahawa terdapat perbezaan dari segi pertimbangan apabila menganjurkan konsert di Singapura dan Malaysia.

“[Ada] sekatan [terhadap] perkara tertentu yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh penganjur,” jelas beliau.

Sebagai contoh, katanya, di Singapura, pihak lokasi di mana acara diadakan akan memastikan ada jarak tertentu antara penonton dan pentas, yang kadangkala membuatkan artis berasa bahawa jumlah penonton adalah lebih sedikit daripada jumlah sebenar.

Dengan banyak persembahan yang berjaya, konsert mana yang paling diingati bagi Sufie?

“[Kumpulan pop Indonesia] Wali Band,” jawab beliau.

Memuji hubungan kerja yang baik bersama kumpulan tersebut, beliau berkata: “Mereka sangat mudah [untuk bekerjasama], sangat fleksibel dan benar-benar memberikan yang terbaik untuk peminat.”

Malah, Sufie kini rapat dengan ahli kumpulan itu dan pasukan pengurusan mereka. Mereka juga sering meluangkan masa bersama apabila berada di negara yang sama.

“Kami ada ikatan seperti keluarga.”

Jadi, artis mana yang menjadi impian Sufie untuk dibawa bagi mengadakan konsert?

“Adele,” jawab Sufie sambil tersenyum lebar.

“Saya tidak melihat beliau hanya sebagai penyanyi. Saya melihatnya sebagai penghibur. Beliau mempunyai personaliti dan karakter yang membuatkan peminat rasa dekat dengannya,” kata Sufie sambil berkongsi pengalaman beliau dan isterinya menonton konsert Adele di Munich.

“Walaupun saya bukan penganjurnya, saya tetap akan membeli tiket. Semua orang patut menyaksikan konsert Adele.”

Buat masa ini, Sufie berkata SAH Entertainment memberi tumpuan utama kepada para pelanggan.

“Apa yang boleh saya katakan kepada semua ialah apabila kami mendapat peluang untuk membawa artis kepada anda, kami akan melakukan yang terbaik,” kata Sufie.

“Pasukan kami sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak peminat kerana pada akhirnya, merekalah yang akan menyimpan wang untuk membeli tiket.”
Taufik Batisah bersama Sufie Rashid, pengasas penganjur konsert SAH Entertainment. (Gambar: CNA/Hazeeq Sukri)
Selepas bertahun-tahun menganjurkan konsert untuk artis luar negara, Oktober ini SAH Entertainment akan menganjurkan konsert pertama untuk artis tempatan: juara Singapore Idol sendiri, Taufik Batisah.

Kini dengan pemahaman mendalam mengenai industri hiburan di atas dan di belakang pentas, Sufie berkongsi pandangannya berhubung dunia hiburan Singapura.

“Saya rasa Singapura mempunyai ramai individu berbakat dan artis baharu. Cuma mereka tidak diberikan platform yang mencukupi untuk menonjolkan bakat,” kata beliau.

“Apabila anda melihat artis baharu di negara lain, jika mereka mengumumkan lagu baharu hari ini, mereka akan sibuk dengan banyak pasaran media.

“Tetapi di Singapura, saya rasa kita tidak ada perkara itu… Saya rasa kita mempunyai bilangan [saluran] media yang agak baik di sini. Ia cuma soal sama ada atau bagaimana mereka boleh menyediakan platform ini untuk artis tempatan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita