Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Suami Ziana Zain rayu ketepi sabitan, hukuman penjara

Bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dihukum penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya, memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami Ziana Zain rayu ketepi sabitan, hukuman penjara

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 05 Nov 2020 12:26AM Dikemas Kini : 05 Nov 2020 12:28AM

KUALA LUMPUR: Bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dihukum penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya, memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.

Peguam Amir Farid Mohd Nawawi, yang mewakili Armin Zaharin, 55, memberitahu Bernama rayuan itu difailkan pada tarikh sama anak guamnya dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Shah Alam iaitu 28 Sep lalu.

Beliau berkata rayuan itu sepatutnya ditetapkan hari ini (5 Nov) untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar namun ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sehingga 9 Nov ini.

Katanya lagi, mahkamah menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengurusan kes yang baru di hadapan Cik Nur Azizah.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara 8.00 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 (S$652) atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 (S$1,629) kepada RM8,000 (S$2,607).

Bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat aduan polis pada 27 Feb 2018.

Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018 selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang anak perempuan berumur dalam lingkungan 11 hingga 20 tahun.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan