Skip to main content

Hiburan

'Squid Game' musim ke-3: Pertembungan terakhir Gi-Hun, Front Man

Anggaran Waktu Membaca:
'Squid Game' musim ke-3: Pertembungan terakhir Gi-Hun, Front Man

(Gambar: SquidGameNetflix/Instagram)

Diterbitkan : 09 Jun 2025 11:14PM Dikemas Kini : 09 Jun 2025 11:18PM
SEOUL: Musim ketiga dan terakhir siri sensasi global "Squid Game" bakal mengetengahkan persoalan asas sama ada manusia mampu mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang, kata pengarahnya pada Isnin (9 Jun), sambil menegaskan siri ini lebih menjurus kepada penerokaan berbanding jawapan muktamad, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Dalam persaingan sengit masyarakat kapitalis, saya mahu karya ini mengajukan persoalan - bolehkah manusia membina dunia yang lebih baik? Mampukah kita mewariskan dunia yang mampan kepada generasi akan datang?” kata pencipta, penulis dan penerbit eksekutif siri itu, Hwang Dong-hyuk, dalam sidang media mempromosikan musim baharu di Seoul.

“Sepanjang lima tahun lalu, kami mencurahkan sepenuh usaha untuk menghasilkan siri ini. Dalam episod penamat nanti, akan berlaku pertembungan antara Gi-hun dan Front Man berkaitan pegangan asas mereka terhadap nilai kemanusiaan dan pandangan masing-masing terhadap dunia. Anda boleh anggap ia sebagai pertembungan nilai teras mereka,” katanya.

Musim terbaharu yang disifatkan pengarah sebagai musim kegemarannya itu akan menamatkan keseluruhan kisah "Squid Game", dengan naratif yang menyelami pergolakan dalaman dan harapan yang kian pudar.

Ia khususnya akan menggambarkan perjuangan Gi-hun mencari jalan keluar daripada kekecewaan susulan kematian sahabat baiknya, Jung-bae, dalam permainan maut, menurut Hwang.

Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk meneroka batas akhir harapan - saat segala-galanya musnah. “Apabila semua harapan padam dan yang tinggal hanyalah keputusasaan - apa yang menanti selepas itu?” soalnya.

Pelakon Lee Jung-jae yang memegang watak utama Gi-hun menyifatkan kejayaan siri ini berpunca daripada keupayaannya menyatukan tema besar dengan kisah peribadi individu.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita