Skip to main content

Hiburan

'Spider-Man: Brand New Day' raih AS$355 juta, catat pembukaan kedua terbesar di Amerika Utara

Anggaran Waktu Membaca:
'Spider-Man: Brand New Day' raih AS$355 juta, catat pembukaan kedua terbesar di Amerika Utara

Zendaya (kiri) dan Tom Holland dalam satu babak filem "Spider-Man: Brand New Day". (Gambar: Sony Pictures menerusi AP)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 10:22PM
LOS ANGELES: "Spider-Man: Brand New Day", filem terbaharu Sony dan Marvel yang menampilkan Tom Holland sebagai adiwira ikonik Spider-Man, meraih AS$355 juta (S$454.8 juta) pada minggu pembukaannya di Amerika Utara.

Menurut anggaran industri pada Ahad (2 Ogos), ia merupakan pembukaan kedua terbesar dalam sejarah box office domestik.

Filem itu hanya berada di belakang "Avengers: Endgame", yang meraih AS$357 juta (S$457.4 juta) pada 2019, tanpa mengambil kira inflasi, menurut Box Office Mojo.

Selain Encik Holland, "Spider-Man: Brand New Day" turut dibintangi Zendaya, Mark Ruffalo, Florence Pugh dan Sadie Sink.

Filem itu memaparkan Peter Parker hidup bersendirian selepas memadamkan identitinya daripada ingatan dunia, sebelum berdepan perubahan dalam dirinya dan ancaman baharu.

"Ini merupakan pembukaan yang amat besar," kata penganalisis David A Gross dari Franchise Entertainment Research.

Menurut beliau, pasaran sudah lama tidak menyaksikan filem aksi besar sepanjang musim panas, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap filem tersebut.

HAMPIRI AS$1 BILION DI SELURUH DUNIA

"Spider-Man: Brand New Day" turut meraih AS$573 juta (S$734.0 juta) dari pasaran antarabangsa, menurut firma pemantau industri Exhibitor Relations.

Ini menjadikan kutipan keseluruhannya di seluruh dunia sebanyak AS$928 juta (S$1.19 bilion).

Encik Gross berkata pasaran luar Amerika Utara dijangka menyumbang lebih 60 peratus daripada kutipan keseluruhan filem itu, dengan prestasi memberangsangkan turut dicatatkan di China.

Filem terbaharu Christopher Nolan, "The Odyssey", menduduki tempat kedua dengan kutipan AS$51 juta (S$65.3 juta).

Filem Universal itu, yang berdasarkan puisi epik purba karya Homer, mengisahkan Odysseus, lakonan Matt Damon, yang berdepan pelbagai rintangan dalam perjalanan pulang selepas Perang Trojan.

Anne Hathaway dan Tom Holland turut membintangi filem itu sebagai Penelope dan Telemachus.

"The Odyssey" setakat ini meraih hampir AS$400 juta (S$512.5 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada.

"Toy Story 5" terbitan Disney-Pixar berada di tempat ketiga dengan AS$6.3 juta (S$8.1 juta), diikuti "Minions & Monsters" dengan AS$5.8 juta (S$7.4 juta).

Filem aksi langsung Disney "Moana" menduduki tempat kelima dengan kutipan AS$5.3 juta (S$6.8 juta).
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita