Skip to main content

Hiburan

'Spider-Man: Brand New Day' kekal kuasai carta pecah panggung Amerika Utara

Anggaran Waktu Membaca:
'Spider-Man: Brand New Day' kekal kuasai carta pecah panggung Amerika Utara

Ewan McGregor (kiri) dan Anne Hathaway dalam satu babak filem 'The End Of Oak Street'. (Gambar: Warner Bros. Pictures menerusi AP)

Diterbitkan : 17 Aug 2026 09:21AM
LOS ANGELES: 'Spider-Man: Brand New Day' terus mengungguli carta pecah panggung Amerika Utara bagi minggu ketiga berturut-turut, sekali gus melepasi kutipan AS$2 bilion (S$2.6 bilion) di seluruh dunia.

Filem terbitan Sony Pictures itu meraih AS$70 juta (S$89.5 juta) daripada tayangan di pawagam Amerika Syarikat dan Kanada pada hujung minggu, menurut anggaran studio pada Ahad (16 Ogos).

Ia membawa jumlah kutipannya di Amerika Utara kepada AS$785.8 juta (S$1.00 bilion), sekali gus menjadikannya filem dengan kutipan keempat tertinggi dalam sejarah di rantau tersebut.

Dengan tambahan AS$118.7 juta (S$151.7 juta) daripada pasaran luar negara, 'Spider-Man: Brand New Day' kini mengumpul lebih AS$2 bilion (S$2.56 bilion) di seluruh dunia.

Ia merupakan filem kelapan dalam sejarah yang mencapai paras itu tanpa mengambil kira inflasi dan yang kedua terpantas berbuat demikian.

'Spider-Man: Brand New Day' mengambil masa sekitar 18 hari untuk mencapai kutipan AS$2 bilion (S$2.56 bilion), berbanding 11 hari bagi 'Avengers: Endgame' pada 2019.

'THE ODYSSEY' KEKAL DI TEMPAT KEDUA

Filem 'The Odyssey' arahan Christopher Nolan pula kekal di tempat kedua pada minggu kelima tayangannya.

Ia meraih AS$23.2 juta (S$29.7 juta) pada hujung minggu, menjadikan jumlah kutipannya di Amerika Utara AS$504.7 juta (S$645.1 juta).

Dengan AS$98 juta (S$125.3 juta) lagi daripada pasaran antarabangsa, filem itu kini meraih lebih AS$1.2 bilion (S$1.53 bilion) di seluruh dunia.

Dua filem baharu bertemakan dinosaur pula bersaing untuk menduduki tempat ketiga.

'The End Of Oak Street', yang dibintangi Anne Hathaway dan Ewan McGregor, meraih sekitar AS$21 juta (S$26.8 juta) daripada 3,446 pawagam di Amerika Utara.

Filem arahan David Robert Mitchell itu turut meraih AS$26 juta (S$33.2 juta) daripada tayangan antarabangsa, menjadikan kutipan pembukaannya di seluruh dunia AS$47 juta (S$60.1 juta).

Filem tersebut mengisahkan sepasang ibu bapa di kawasan pinggir bandar pada 1982 yang mendapati kejiranan mereka secara misteri dipindahkan ke zaman prasejarah.

Filem animasi 'Paw Patrol: The Dino Movie' pula meraih AS$20.5 juta (S$26.2 juta) pada hujung minggu pembukaannya.

Ia merupakan filem 'Paw Patrol' ketiga yang ditayangkan di pawagam sejak 2021 dan setakat ini meraih AS$69 juta (S$88.2 juta) di seluruh dunia.

Dokumentari 'Katseye: Wild Hearts' melengkapkan lima tangga teratas dengan kutipan AS$4 juta (S$5.1 juta).

Secara keseluruhan, musim panas di Amerika Utara mencatatkan lebih AS$4.2 bilion (S$5.1 juta) dalam penjualan tiket, sekitar 5.7 peratus lebih tinggi berbanding musim panas sebelum pandemik pada 2019.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita