Skip to main content

Hiburan

SPF, CASE beri amaran tentang penipuan jelang jualan awal tiket konsert BTS di SG

Pasukan Polis Singapura (SPF) dan badan pemantau pengguna, Persatuan Pengguna Singapura (CASE), baru-baru ini memberi amaran kepada para peminat supaya berhati-hati ketika membeli tiket konsert.

Anggaran Waktu Membaca:
SPF, CASE beri amaran tentang penipuan jelang jualan awal tiket konsert BTS di SG

BTS akan mengadakan persembahan di Stadium Negara pada 17, 19, 20 dan 22 Disember sebagai sebahagian daripada jelajah dunia Arirang. (Gambar: Big Hit Music melalui AP)

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) dan badan pemantau pengguna, Persatuan Pengguna Singapura (CASE), baru-baru ini memberi amaran kepada para peminat supaya berhati-hati ketika membeli tiket konsert. Nasihat tersebut dikeluarkan sedang para peminat bintang K-pop BTS bersiap sedia untuk sesi jualan awal konsert Arirang kumpulan itu yang akan datang di Singapura.

Presiden CASE Melvin Yong menasihatkan para peminat supaya “hanya membeli tiket melalui saluran penjualan tiket rasmi dan yang dibenarkan” serta berwaspada terhadap penjual pihak ketiga, terutamanya mereka yang meminta bayaran pendahuluan.

Beliau menambah bahawa penyedia perkhidmatan tiket juga boleh membatalkan tiket-tiket yang dijual semula.

“Oleh itu, pembelian tiket daripada sumber yang tidak dibenarkan bukan sahaja mendedahkan para pengguna kepada risiko penipuan, malah kemungkinan mereka tidak dibenarkan memasuki acara tersebut,” tulisnya.

“Sedang permintaan bagi acara konsert utama terus meningkat, CASE dan Panel Semakan Perlindungan Pengguna, yang saya pengerusikan bersama, kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri bagi memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem penjualan tiket serta meningkatkan langkah perlindungan terhadap penipuan tiket.”

SPF turut menjelaskan satu kaedah biasa yang digunakan oleh penipu, termasuk menghantar petikan layar atau video tiket dan resit palsu kepada mangsa serta mendesak mereka untuk membuat bayaran dengan segera, kemudian mengatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang bayaran daripada mangsa sebelum menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Sehubungan itu, SPF menggesa para peminat supaya membeli tiket hanya melalui saluran yang dibenarkan seperti Ticketmaster. SPF menambah bahawa terma dan syarat Ticketmaster melarang pemindahan atau penjualan semula tiket, dan sesiapa yang didapati menggunakan tiket jualan semula mungkin tidak dibenarkan masuk tanpa sebarang bayaran balik.

SPF turut menyatakan bahawa ia sudah menghubungi platform jualan semula Carousell, untuk mengarahkannya menghapuskan senarai penjualan tiket untuk konsert Arirang yang akan datang.

BTS akan mengadakan persembahan di Stadium Negara pada 17, 19, 20 dan 22 Disember sebagai sebahagian daripada jelajah dunia Arirang yang sedang berlangsung.

Sesi jualan awal bagi konsert itu akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari Rabu (3 Jun) untuk pemegang keahlian ARMY, manakala sesi jualan awal kedua akan berlangsung pada 4 Jun untuk ahli Live Nation.

Jualan umum pula akan diadakan pada 5 Jun.

Permintaan bagi konsert Arirang amat tinggi di seluruh dunia, dengan tiket bagi persembahan di negara-negara seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah habis dijual dalam tempoh beberapa jam.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita