Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza serah siasatan kes berita palsu kepada polis; terkilan nama dan gambarnya disunting

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza serah siasatan kes berita palsu kepada polis; terkilan nama dan gambarnya disunting

Gambar fail: Siti Nurhaliza/Instagram

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Siti Nurhaliza menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung penyebaran berita palsu yang mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah.

Kata Siti, dia tidak menyangka apabila ada individu atau pihak yang berani membuat suntingan menggunakan nama dan gambar profil yang diambil dari Facebook semata-mata untuk mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

"Saya tidak sangka boleh keluar (berita palsu) dan orang berani buat suntingan sebegitu. Sebab kalau mahu kata ada orang godam, memang tiada apa-apa hantaran seperti itu dalam FB saya.

"Pelaku memang buat suntingan sendiri untuk mengeluarkan berita palsu seperti itu. Jadi, saya serahkan kepada pihak berwajib memandangkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga sudah mengeluarkan kenyataan dan akan mengambil tindakan," katanya kepada BH Online.

Mengakui terkilan dengan perkara itu, Siti berkata, dia masih berhati perut dan hanya menyerahkan siasatan kepada pihak berwajib supaya dapat dikekang pada masa akan datang.

"Apabila perkara ini terjadi memang rasa terkilan dan sedih, tetapi tidak mengapa sebab mungkin dahulu saya hanya selalu memberi amaran sahaja terutama dalam media sosial.

"Saya masih berhati perut dalam perkara ini. Apabila menteri sendiri sudah mengutarakan perkara ini, jadi saya serahkan kepada pihak berwajib," katanya semasa ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Global Station Sdn Bhd di Kemensah Heights, Ampang, pada Rabu (3 Mei), seperti dipetik BH Online.

Jelas Siti, mungkin disebabkan selama ini dia hanya memberi amaran dalam media sosial menyebabkan ada pihak yang masih berani menggunakan namanya untuk tujuan penyebaran berita palsu.

"Disebabkan saya hanya memberi amaran mungkin ada orang masih berani untuk melakukan perkara seperti ini. Kalau tidak keluarkan kenyataan, orang lain pun boleh nampak ia adalah perkara tidak sepatutnya.

"Semua sudah menjadi suara saya, sama ada peminat dan netizen sudah faham. Tidak mengapa saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib," katanya, lapor BH Online.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan