Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza sedia bantu keluarga terkesan kawalan pergerakan M'sia

Penyanyi tersohor Malaysia Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd menganjurkan Program Bantuan Prihatin 2021 untuk keluarga terjejas yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza sedia bantu keluarga terkesan kawalan pergerakan M'sia

(Gambar: OzAsia 2019)

Diterbitkan : 04 Jul 2021 07:54PM Dikemas Kini : 04 Jul 2021 07:56PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Malaysia Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd menganjurkan Program Bantuan Prihatin 2021 untuk keluarga terjejas yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah.

Siti dalam kenyataan yang dikeluarkan memberitahu para wartawan bahawa bantuan prihatin itu adalah sebagai inisiatif bagi meringankan beban keluarga memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur pada masa ini, seperti dinukil Harian Metro.

Selaku Pengasas merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd, Siti berkata beliau sangat berharap program bantuan berkenaan dapat meringankan kesempitan hidup dialami keluarga-keluarga yang terjejas dan mempunyai anak kecil.

"Bantuan ini menumpukan kepada penyediaan barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, yang boleh dimohon oleh keluarga memerlukan di Selangor dan Kuala Lumpur.

''Kami akan usahakannya secara berperingkat dan menyasarkan kira-kira 1,500 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini supaya dapat dibantu ketika PKP dan PKPD terus dilaksana.

"Justeru, saya berharap agar lebih banyak lagi pihak yang berminat menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin untuk program bantuan ini dilakukan lebih menyeluruh,'' katanya seperti dinukil Harian Metro.

Siti turut berterima kasih dengan beberapa syarikat yang sudi bekerjasama dan menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin dengannya untuk menjayakan program bantuan berkenaan.

''Sejak pandemik COVID-19 melanda negara hingga kini, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

"Hari ini kita terus kuat dan bersatu untuk menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,'' katanya lagi seperti dinukil Harian Metro.

Justeru, mereka yang berminat untuk memohon Bantuan Prihatin 2021 berkenaan boleh berbuat demikian menerusi permohonan di aplikasi Google Form.

Keluarga susah dan mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah layak memohon. Malah, salah seorang daripada wakil keluarga sama ada suami atau isteri boleh mendaftar.

Sehubungan itu, antara syarikat yang menyertai program bantuan tersebut adalah Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn Bhd. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan