Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza rakam 7 lagu untuk album baru; konsert solo tahun depan

Anggaran Waktu Membaca:
MALAYSIA: Siti Nurhaliza memberikan khabar gembira buat para peminatnya, Sitizoners dan penggemar muzik apabila memberitahu beliau akan muncul dengan album baru.

Siti, 44 tahun, juga mendedahkan bahawa beliau sudah merakamkan tujuh buah lagu termasuk runut bunyi filem Anwar The Untold Story, Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari yang didendangkannya pertama kali semasa Konsert Satu Suara Vol:3 bersama Jay Jay dan Ernie Zakri, lapor Astro Gempak.

“Sebenarnya saya sudah merakamkan tujuh buah lagu pada bulan Ramadan lalu, termasuk Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari sementara bakinya masih belum sempat kerana kekangan kerja lain."

“Jika mengikut perancangan, Insya-Allah tahun ini saya akan menerbitkan album baru dengan 12 buah lagu,” katanya sewaktu ditemui media pada sidang akhbar Konsert Satu Suara Vol: 3 di Hotel Park Royal pada Ahad (14 Mei).

Menurut Siti, untuk album kali ini beliau bekerjasama dengan ramai komposer muda, menjadikan dirinya seperti kembali belajar sesuatu yang baru memandangkan beliau perlu kedengaran ‘segar’, seperti dipetik Astro Gempak.

Selain komposer baru, Siti turut mendapatkan khidmat pesohor seni Indonesia yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, Melly Goeslaw.

“Saya banyak menyanyikan lagu komposer baru dalam album ini. Yang seronoknya saya diminta menyanyi dengan gaya lebih fresh atau segar dan ia membuat saya kembali belajar menyanyi."

“Selain itu, saya kembali berkolaborasi dengan Melly yang tidak pernah menolak untuk memberikan karya buat saya,” katanya lagi."

Seiring dengan kelahiran album baru, mustika hati Malaysia itu turut mengatakan akan mengadakan konsert solonya pada tahun depan, menurut laporan Astro Gempak.

“Jadi lepas keluar album baru tahun ini, saya akan adakan konsert solo pada tahun depan. Boleh nyanyi lagu baru nanti,” ujarnya teruja.

Siti pertama kali merakamkan album solo pada tahun 1996 dengan judul Siti Nurhaliza 1 dan terakhir pada 2020 menerusi ManifestaSITI2020.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan