Skip to main content

Hiburan

Siti Nurhaliza, Neelofa kongsi ramalan pemenang Anugerah Juara Lagu 38

Penyanyi terkenal dari Malaysia, Siti Nurhaliza meramalkan penyanyi wanita akan mengungguli kedudukan teratas malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal dari Malaysia, Siti Nurhaliza meramalkan penyanyi wanita akan mengungguli kedudukan teratas malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini (3 Mac).

Menurut beliau, tiga penyanyi yang dimaksudkan adalah Aina Abdul, Ernie Zakri dan Aisha Retno.

"Sebenarnya kena tonton dahulu persembahan baru boleh ramal siapa menang.

"Lagu sudah dipilih kerana saya juga pernah jadi juri sebelum ini. Hanya persembahan sahaja akan dipilih masa pertandingan nanti.

"Tapi, setiap penjurian berbeza dan juri pun berlainan," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Siti yang pernah memenangi trofi utama AJL sebanyak tiga kali menerusi lagu Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis tidak menolak kemungkinan kumpulan Masdo mampu cipta kejutan.

"Bagi saya, Masdo ada 'sesuatu' yang membolehkan mereka membuat kejutan malam AJL 38," ujar Siti ditemui pada majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan Yayasan Nurjiwa di Bamboo Hills semalam (2 Mac).

Bertemakan Muzikaverse cukup ikonik, AJL 38 menyaksikan pemegang takhta Juara Lagu pada AJL 37, Aina meneruskan penguasaan di pentas berprestij apabila mara ke pusingan akhir menerusi lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu.

NEELOFE TURUT BUAT RAMALAN

Sementara itu, pengacara popular Neelofa juga tampil dengan ramalannya sendiri bagi AJL 38, seperti yang dilakukannya bagi edisi sebelumnya.

Menerusi catatan di wadah X, Neelofa memilih lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari dan Astana (Ernie Zakri) antara karya yang mungkin muncul sebagai juara.

Ramalan Neelofa tentang pemenang AJL sememangnya menjadi bualan ramai dan dinantikan setiap tahun kerana pilihannya biasanya adalah tepat.

Selain Jangan Mati Rasa Itu oleh Aina Abdul, Hasrat oleh Amir Jahari dan Astana oleh Ernie Zakri, lagu-lagu lain yang bakal berentap termasuk Bintang oleh Hael Husaini, Sutera oleh Aisha Retno, Santai dengan nyanyian asal oleh Faizal Tahir, Inilah JalanNya oleh Masdo dan Darah oleh Marsha Milan.

Turut bersaing ialah Kalam oleh Shiha Zikir dan Kucuma dengan nyanyian asal oleh Wany Hasrita dan Jamal Abdillah.

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet, Waktu oleh Hasif Upin dan Ziana Zain dan Selagi Ku Ada oleh Khai Bahar dan Nabila Razali.
Sumber : Sumber Web/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita