Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Khalijah Zainal juara musim ke-2 'Berani Nyanyi?'

Pelakon dan penggiat teater Siti Khalijah Zainal dinobat sebagai juara musim kedua pertandingan 'Berani Nyanyi?'.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Khalijah Zainal juara musim ke-2 'Berani Nyanyi?'

(Gambar ihsan: Mediacorp)

SINGAPURA: Pelakon dan penggiat teater Siti Khalijah Zainal dinobat sebagai juara musim kedua pertandingan 'Berani Nyanyi?'.

Beliau berjaya membawa pulang trofi setelah mengetepikan lagi lima finalis - Dalina Jaapar, Farhana M Noor, Izyan Mellyna, Junaidi Sali dan Marina Yusoff.

Kemenangan ini sekali gus menjadikannya wanita pertama menjuarai pertandingan itu selepas musim pertama dimenangi pelakon, Salif Hardie.

"Saya rasa gembira sangat, terharu kerana di dalam proses, dari hari pertama, episod pertama, hinggalah sekarang, dalam fikiran saya saya hanya ingin bergembira. Saya tidak fikir sangat pasal untuk pertandingan itu walaupun memanglah memberi kita tekanan," kata Siti Khalijah, 38 tahun.

“”(Gambar: Mediacorp)

Siti Khalijah atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Siti K membuat kemunculannya yang pertama dalam episod pertama musim ke-2 rancangan itu bersama-sama Vernetta Lopez, Atty Malek, Shane Mardjuki dan Khairudin Samsudin.

SENTIASA BERIKAN KELAINAN UNTUK SETIAP PERSEMBAHAN

Kepelbagaian dari segi pemilihan lagu dan persembahan beliau sangat menonjol sepanjang pertandingan.

Untuk persembahannya di peringkat suku akhir, Siti K menyanyikan lagu 'Sha Na Na' oleh Amy Mastura dan 'Hi Hi Bye Bye' oleh Ezlynn.

Daripada genre pop, beliau menunjukkan kebolehannya membawa lagu rok pula apabila menggegarkan arena pertandingan dengan memilih lagu 'Permata Biru' oleh Ella.

“”(Gambar: Mediacorp)

Bagi peringkat akhir pula, beliau membawakan lagu 'Kau Kunci Cintaku' oleh Ramlah Ram dan 'Kudaku Lari' oleh Emillia Contessa yang bertemakan konsep 'country' atau 'koboi'.

"Kami harus memikirkan setiap kali kami daripada suku akhir, separuh akhir hinggalah ke peringkat akhir ini, memikirkan setiap konsep yang baharu, apa yang kita ingin tunjukkan kepada penonton-penonton di rumah dan juga para juri dan saya rasa kerja keras saya selama ini, berbaloi, puas hati saya," tambah Siti yang juga pemenang Pelakon Terbaik dalam Watak Komedi dalam Pesta Perdana ke-17 tahun lalu.

Selain menyanyi solo, Siti K juga dipasangkan dengan penyanyi jemputan, Farhan Shah untuk membawakan lagu nyanyian asal Ajai dan Nurul berjudul 'Keliru'.

“”(Gambar: Mediacorp)

Ternyata, kawalan vokal dan 'julat suaranya', serta 'penguasaan pentasnya' memukau barisan juri.

"Dia telah memberi persembahan yang terbaik dan malam ini dia bagus dari segi vokal, konsep persembahan dia, bila diri di pentas, sangat berkeyakinan, tenaga yang dibawanya di pentas. Dari segi itu saya rasa para juri semua memberikan dia markah yang tertinggi dalam persembahan solo dan juga persembahan berduet," kata juri jemputan, Taufik Batisah.

“”(Gambar: Mediacorp)

ASAH BAKAT, TIMBA ILMU BAHARU

Meskipun sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, Siti K bersyukur kerana menerusi pertandingan ini, beliau dapat mengasah lagi bakatnya seorang penghibur dengan bekerjasama dengan artis-artis tempatan yang lain.

"Saya dapat bertemu dengan ramai orang yang banyak membantu saya. Nana Karia pertama kali saya bekerja dengan dia, dia banyak membantu saya dari segi nyanyian, dari segi vokal saya dan juga pelakon-pelakon yang lain yang melibatkan diri dalam Berani Nyanyi? Saya tak pernah bekerja dengan Izyan Mellyna, Marina Yusoff dan sebagainya. Jadi untuk kami dapat bersama, bergabung, menyanyi, bersuka ria, amat seronoklah. Pengalaman yang mungkin saya tidak akan lupakan," ujarnya.

“”(Gambar: Mediacorp)

Ditanya sekiranya beliau akan menceburi bidang nyanyian selepas ini, ini jawapannya...

"Saya rasa saya belum berkeyakinan ke tahap itu lagi. Saya tetap akan terus menyanyi kerana itu minat saya tapi mungkin mengambilnya sebagai satu kerjaya profesional, belum lagi," tambah Siti K.

Seramai 30 peserta termasuk pelakon, pengacara, pemain bola sepak dan penggiat seni berbilang kaum mewarnai musim ke-2 'Berani Nyanyi?'.

Anda boleh menyaksikan kesemua 10 episod di mewatch.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan