Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siri baharu 'Air Tangan' gabung dua generasi, tampilkan resipi moden dan tradisional

Menghubungkan dua generasi melalui masakan.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menghubungkan dua generasi melalui masakan.

Itulah yang ditampilkan dalam siri terbaharu di Mediacorp Suria, 'Air Tangan'.

Bersesuaian dengan judulnya, rancangan itu menampilkan hidangan resipi warisan dan kontemporari yang dimasak oleh dua generasi.

Generasi muda, yang terdiri daripada lapan pempengaruh media sosial tempatan, mengasah kemahiran memasak mereka dengan bimbingan ahli keluarga yang lebih berpengalaman.

Sementara itu, generasi tua perlu menyesuaikan diri untuk menyediakan hidangan moden.

Antara yang terlibat dalam siri ini adalah Fikah Zainal bersama neneknya, Norah Abdul Rahim; Emmireen Norman dan makciknya, Miseriah Ahmad; Nyla Esman dan neneknya, Rokiah Mustaqim; Faiz Zikry serta makciknya, Mira Othman; Syurga Jeffrey dan neneknya, Kartini Abdul Karim; Syaz Smooth bersama neneknya, Norasmah Kamarudin; Mallary Rose dan makciknya, Zaliha Hamid; serta Zaki Hussain dengan neneknya, Salbiah Wir.

INSPIRASI DISEBALIK SIRI BAHARU 'AIR TANGAN'

Penerbit Eksekutif dan Pengarahnya, Encik Sujimy Mohamad, serta Penerbit Eksekutif Cik Haslinda Ali, berkongsi inspirasi di sebalik siri tersebut.

"Konsep rancangan televisyen ‘Air Tangan’ lahir daripada kenangan indah memasak bersama ibu saya, Nenek Salbiah, di dapur. Selama lebih lapan tahun, kami telah berkongsi resipi tradisional di media sosial, menjadikannya sebagai cara untuk menyatukan keluarga dan penonton melalui resipi makanan tradisional.

"Haslinda sendiri suka memasak makanan yang sihat untuk keluarga, namun bila saja menginginkan resipi tradisional, beliau lebih suka menikmati masakan ibunya," kongsi Encik Sujimy.

Tambahnya, siri itu bermula dengan visi mereka suami isteri untuk menghubungkan dua generasi melalui masakan.
"Kami memilih pempengaruh muda dan pasangan mereka yang lebih tua untuk setiap episod. Kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap keluarga mempunyai ruang untuk berkongsi cerita mereka, kenangan silam, dan cerita serta sejarah di sebalik resipi yang dikongsikan.

"Harapan kami adalah setiap episod ‘Air Tangan’ menjadi kenangan berharga buat setiap keluarga yang menontonnya dan mengabadikan warisan masakan ibu-ibu dan nenek-nenek kita," kata Encik Sujimy.

CABARAN DAPATKAN PASANGAN SESUAI, IMBANGI ELEMEN TRADISIONAL DAN MODEN

Pihak produksi bagaimanapun berdepan dengan cabaran mencari pasangan yang sesuai untuk setiap episod, terutama daripada generasi yang lebih tua, memandangkan ada di antara mereka yang telah meninggal dunia.

Cabaran lain termasuk mengimbangi elemen tradisional dan moden dalam rancangan itu untuk menarik minat penonton muda, sambil tetap mengekalkan keaslian resipi turun-temurun yang dipaparkan.

SELITKAN KISAH-KISAH PERIBADI ANTARA ELEMEN MENARIK SIRI

Dalam pada itu, Encik Sujimy berharap siri itu bukan sahaja dapat meraikan pemeliharaan tradisi tetapi juga erti warisan dan keindahan ikatan keluarga.

"Para penonton boleh menjangkakan lebih banyak resipi lama yang jarang ditemui dan resipi 'fusion' dari generasi muda. Selain itu, kami ada selitkan kisah-kisah peribadi dan saat-saat lucu yang menjadikan program ini begitu dekat di hati penonton.

"Setiap episod akan memberi inspirasi dan membuat penonton ingin menjalinkan hubungan rapat antara generasi yang berbeza dalam keluarga mereka. Selain itu, mengingatkan penonton akan pentingnya ikatan keluarga serta untuk meneruskan warisan resipi turun-temurun untuk generasi akan datang," kata Encik Sujimy.

Beliau menekankan pentingnya untuk memelihara budaya dan warisan Melayu melalui resipi turun temurun.
“Budaya kita kaya dengan resipi turun-temurun yang bukan sekadar makanan – ia merupakan sejarah, kenangan, dan warisan kita. Melalui 'Air Tangan', kami harap ia dapat memelihara resipi-resipi ini supaya generasi muda dapat menghargai dan meneruskan tradisi ini.

"Bagi kami, setiap resipi hidangan bernilai kerana ia mengandungi titik peluh dan kasih sayang orang lama. Ia juga menceritakan asal usul kita, sambil memastikan warisan masakan orang Melayu terus hidup," tambahnya.

TETAMU UNDANGAN ISTIMEWA

Salah seorang tetamu undangan ialah ibu Encik Sujimy sendiri, Cik Salbiah Wir.

"Seronok dapat berkongsi resipi dan lihat cucu saya, Zaki (Zaki Hussain), cuba masakan tradisional yang saya sendiri belajar daripada ibu bertahun-tahun lamanya.

"Kadang-kadang Zaki tersilap buat dan saya perhatikan sifat kelakar cucu saya ini membuat suasana rakaman lebih mesra dan seronok. Saya ada lebih 60 cucu serta cicit dan saya suka berkongsi dengan mereka masakan orang lama," kongsi Cik Salbiah.

Beliau juga menekankan pentingnya melestarikan dan mengabadikan budaya serta warisan Melayu melalui resipi turun-temurun.

"Saya rasa sangat penting untuk kita jaga resipi tradisional ini, sebab ia adalah sebahagian daripada budaya kita. Saya juga gembira bila ada penonton yang menggunakan resipi saya untuk masakan di rumah atau perniagaan mereka," kata Cik Salbiah.

Bagi memperkasa usahanya untuk melestarikan masakan dan hidangan tradisional Melayu, Cik Salbiah juga antara yang menyumbang resipi di dalam buku masakan 'Kelentang Kelentung Warisan' yang dilancarkan ScreenBox.

Buku itu mengandungi 50 resipi warisan dan kesemua resipi adalah hasil sumbangan Cik Salbiah Wir, Tih Maimunah Hasan dan beberapa cef-cef tempatan.

Siri baharu itu ditayangkan di saluran Suria setiap Rabu pada jam 9.00 malam.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan