Skip to main content

Hiburan

Single nasyid terbaru Hijjaz disuntik irama rap, penuhi citarasa pendengar muda

Kumpulan Hijjaz, cuba membawa suatu kelainan ketika menyampaikan dakwah mereka apabila mempertaruhkan lagu nasyid dengan suntikan irama rap demi menarik perhatian lebih ramai pendengar khususnya generasi muda.

Anggaran Waktu Membaca:
Single nasyid terbaru Hijjaz disuntik irama rap, penuhi citarasa pendengar muda

(Gambar: Hijjaz/Facebook)

Diterbitkan : 02 May 2019 11:11PM Dikemas Kini : 02 May 2019 11:13PM

KUALA LUMPUR: Kumpulan Hijjaz, cuba membawa suatu kelainan ketika menyampaikan dakwah mereka apabila mempertaruhkan lagu nasyid dengan suntikan irama rap demi menarik perhatian lebih ramai pendengar khususnya generasi muda.

Menurut seorang daripada anggotanya, Munif Ahmad, pendekatan tersebut bagaimanapun bukanlah disebabkan konsep yang biasa digunakan sudah tidak laku lagi.

Sebaliknya Munif berkata lagu mereka diolah dengan unsur kontemporari bagi memastikan ia selaras dengan selera masa kini, lapor Malaysiakini.

“Bukan tak laku, masih ada peminat mengikuti dan mendengar lagu-lagu nasyid.

“Cuma apabila usia sudah meningkat, saya rasakan HIjjaz perlu mengilhamkan idea baru untuk pendengar lebih muda pula,” katanya.

Sebagai rekod, menurut Malaysiakini, Hijjaz baru-baru ini melancarkan sebuah single baru berjudul Lafaz Salam yang menampilkan Jeff A to Z untuk menyanyikan rangkap rap di dalamnya.

Menurut Munif, memang pada awalnya terbit rasa bimbang terhadap reaksi yang bakal diberikan oleh para peminat kepada lagu itu.

“Mula-mula kami rasa takut dengan penerimaan pendengar sebab kami tak pernah buat nasyid yang mengetengahkan rap.

“Tapi kami tetap mahu cuba juga sebab dah sebelum ini pernah dijalinkan dengan irama lain dan dengan artis lain, nanti tak banyak perbezaan,” ujar beliau seperti yang ditukil oleh Malaysiakini.

Bagaimanapun, Munif berkata, mereka cuba menuai sikap positif apabila ramai peminat mula menyatakan minat terhadap lagu-lagu Hijjaz terutama selepas mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam program Gema Gegar Vaganza 2017.

Dalam persembahan pusingan akhir program tersebut, para peserta diberikan tugasan untuk menyampaikan lagu rap atau hip hop.

Selain Munif, Hijjaz turut dianggotai oleh Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Bagi Isman pula, melalui irama rap, lebih banyak mesej dakwah boleh disampaikan kerana lirik-liriknya tidak menampilkan unsur pengulangan.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita