Skip to main content

Hiburan

Sinaran catat lebih 10j penstriman di Spotify, kenalkan Sheila Majid kepada peminat baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Sinaran catat lebih 10j penstriman di Spotify, kenalkan Sheila Majid kepada peminat baharu

Gambar: Offshore Entertainment

SINGAPURA: Selepas hampir mencecah empat dekad, lagu 'Sinaran' nyanyian Sheila Majid masih tetap 'bersinar' di hati para penggemar muzik.

Lagu daripada album keduanya yang berjudul 'Emosi' yang diterbitkan pada 1986 itu mendahului senarai koleksi lagu-lagu penyanyi 'Legenda' di platform muzik Spotify.

Setakat Jumaat (22 Sep), lagu itu telah mencatatkan lebih 10,220,936 penstriman di wadah muzik popular itu.

FENOMENA 'SINARAN' DI KALANGAN ANAK MUDA

Semasa satu wawancara melalui Zoom bersama BERITA Mediacorp baru-baru ini, Sheila berkata beliau sendiri tidak menjangkakan kehebatan serta sambutan lagu tersebut, lebih-lebih lagi dalam kalangan pendengar muda.

"Kita tidak pernah merancang perkara itu. Ia berlaku secara tidak sengaja. Saya juga tidak tahu sehingga ada orang yang beritahu 'Lagu 'Sinaran' tengah viral!' Orang-orang juga kerap menghantar catatan DJ-DJ di Festival Muzik, memainkan 'Sinaran'," kata Sheila.

Dengan iramanya yang rancak dan liriknya yang positif, lagu tersebut membantu menaikkan nama Sheila ketika itu yang masih lagi baru di dalam dunia seni.

Ia juga antara lagunya yang dirakamkan di Jepun.

"Sinaran itu saya rasa melodinya 'catchy', senang tangkap, orang suka, sedap. Mungkin sejak kebelakangan ini saya tengok banyak DJ-DJ memainkan lagu 'Sinaran' versi remix. Dan semua festival-festival ini sebenarnya adalah untuk belia. Jadi mereka pergi festival sebegitu dan mereka tertarik, mereka suka. Mereka pulang dan periksa siapakah Sheila Majid?," tambah beliau.

Populariti lagu itu juga membuka peluang untuk menjayakan festival-festival muzik di Indonesia.

Ini termasuk acara 'Playlist Love Festival' di Bandung dan 'Bajafash' di Batam Indonesia.

Ia sekali gus memperkenalkan muzik Sheila sepanjang 38 tahun kerjayanya kepada golongan muda.

"Apabila saya lihat senarai artis, satu pun saya tidak kenal. Tetapi anak-anak saya melihat senarai itu dan berkata 'Ma, anda akan menyanyi dan berkongsi dengan artis sedemikian?' Saya pula katakan, 'Siapakah mereka?' Jadi dari situ saya tahu 'oh, ini sebenarnya para artis yang muda untuk golongan muda. Saya ini seorang 'makcik' tiba-tiba di sini. Kemudian saya dapat tahu mereka semua gemarkan 'Sinaran'," seloroh Sheila.

“”(Gambar: Offshore Entertainment)

Pun begitu, ibu empat orang anak itu tidak menghampakan peminat dan tetap memberikan persembahan terbaik.

Malah, sambutan yang diterimanya lebih membakar semangat buat penyanyi berusia 58 tahun itu.

"Apabila saya membuat persembahan, mereka semua bernyanyi! Saya terkejut! Rasanya baik dan saya rasa sedikit 'hip' dan 'happening' kerana anak-anak muda ini masih mendengar muzik saya. Ia memberi jangka masa yang lebih panjang kerjaya saya kerana saya sekarang ada peminat-peminat muda," ujar Sheila yang juga terbuka untuk berkolaborasi dengan artis-artis muda.

"SAYA BUKAN PENYANYI JAZ. SAYA IALAH PENYANYI POP"

Sepanjang kerjaya seninya, Sheila telah melahirkan lebih daripada 14 album dan menghasilkan puluhan lagu-lagu hit.

Penyanyi bersuara lunak itu juga sinonim dengan gelaran 'Ratu Jazz'.

Namun menurut Sheila, gelaran tersebut ibarat satu amanah yang berat baginya.

Ini kerana ada pihak yang pernah mempertikaikan gaya muzik yang dibawakan.

"Sewaktu saya ke Jepun, saya mempunyai masalah untuk memberitahu pengkritik muzik di sana bahawa saya tidak menyanyi jazz sebab mereka fikir saya 'pandai-pandai' cakap saya nyanyi jazz.

"Gelaran 'Ratu Jazz' itu tidak datang daripada saya. Pihak media yang berikannya. Saya akur saya penyanyi lagu pop namun ia mempunyai elemen-elemen jazz. Tetapi saya bersetuju (dengan pengkritik muzik) anda tidak boleh memanggil saya penyanyi jazz. Jadi saya dipersoalkan perkara-perkara seperti itu," jelas Sheila.

Selain terkenal di rantau ini, Sheila juga cukup terkenal di peringkat antarabangsa termasuk London dan Belanda.

Bahkan, beliau pernah menerima anugerah 'Vokalis Wanita Terbaik' di pertandingan Star Search di Amerika Syarikat.

"Saya bukan penyanyi jaz. Saya ialah penyanyi pop," ujar Sheila, yang menamakan Michael Jackson, Stevie Wonder dan Diana Ross sebagai antara pengaruh dan idola beliau.

“”(Gambar: Offshore Entertainment)

Walaupun segala pasang surut kehidupan sudahpun dilaluinya, Sheila sentiasa bersikap positif dan tetap memberikan yang terbaik dalam segala usaha yang dilakukan.

"Tiada sebarang sensasi atau gimik. Saya ini membosankan sebenarnya. Tetapi bagi diri saya, ini adalah periuk nasi saya. Saya sentiasa menitikberatkan mutu di dalam semua kerja saya. Saya akan cuba sedaya upaya dan lainnya saya berserah kepada Allah kerana rezeki di tangan dia," kongsi Sheila, anak bongsu daripada lapan adik beradik.

Sheila juga berpesan: "Kita buat sesuatu harus ikhlas dan jujur. Orang bayar (untuk persembahan) jadi harus pastikan produk yang dihasilkan adalah sesuatu yang awak juga akan belinya. Bukan setakat 'main keluar dan tempel muka sahaja'.

20 LAGU DIPERSEMBAHKAN KHAS UNTUK KONSERT DI SG

Sikap profesionalisme itu jugalah akan terus dibawanya apabila beliau menjayakan konsertnya di Singapura pada 20 Oktober nanti di The Star Theatre, Star Vista.

Kali terakhir beliau mengadakan konsert di Singapura adalah pada 2017 di tempat yang sama.

Istimewa buat konsertnya kali ini juga, Sheila membawakan konsep 'Big Band'.

"Kita memilih konsep 'Big Band' sebab bagi diri saya, lagu-lagu saya yang selalu saya persembahkan di konsert-konsert yang sebelumnya, lagu-lagu yang sama sahaja seperti 'SInaran' 'Antara Anyer dan Jakarta', dan 'Aku Cinta Padamu'. Jadi lagu-lagu ini kita mahu bunyinya lain sikit supaya peminat yang datang tonton konsert pun pasti inginkan sedikit kelainan.

"Selalunya kalau saya buat konsert sebelum ini, kita banyak buat dalam cara orkestra, gunakan biola dan cello. Jadi kali ini, ia lebih 'sassy'. Gaya 'Big Band' ini macam 'badass’," kata Sheila, yang akan diiringi lebih 20 pemuzik untuk konsert tersebut.

“”(Gambar: Offshore Entertainment)

Menurutnya, apabila diberi saranan konsep itu, beliau cukup tertarik kerana ia dapat memberi nafas baru kepada lagu-lagunya yang sedia ada.

"Jadi sekurang-kurangnya, saya boleh sajikan kepada peminat-peminat saya di Singapura, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Sesuatu yang lain daripada apa yang selalu mereka kerap mendengar," tambah Sheila.

Sebelum ini konsert tersebut sudahpun dipentaskan di dua acara 'sold out' di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan termasuk lagu terbarunya berjudul 'Tiada Lagi' yang merupakan runut bunyi (sound-track) filem yang mengiktiraf sumbangan pekerja barisan hadapan menangani COVID-19, 'Juang'.

Khas buat peminatnya di Singapura, Sheila menjanjikan sentuhan yang cukup istimewa ddengan senarai lagu-lagu yang dibawa eksklusif untuk konsert di sini.

Namun Sheila menjelaskan, akan terdapat beberapa lagu yang tidak dapat dibawa.

"Ada lagu saya yang tidak sesuai dibuat dalam konsep Big Band. Bukan semua. Macam lagu ‘Gemilang’ macam mana nak konsep 'Big Band'? Seperti 'Warna', 'Memori', 'Sinaran', 'Antara Anyer dan Jakarta' boleh. Bagi diri saya akan ada lagu-lagu yang saya tidak boleh nyanyikan pada malam tersebut kerana susunannya tidak kena kalau buat 'Big Band'," katanya.

Lebih daripada 3,000 penonton dijangka menyaksikan konsert selama lebih dua jam itu.

Sheila yang kini sedang sibuk membuat persiapan berharap persembahannya itu dapat mengubat rindu para peminat.

"Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk bertemu mereka (peminat). Buat kerja rumah anda, belajar semula lagu-lagu saya, malam itu kita akan menyanyi bersama-sama di dalam dewan. Malam itu nanti akan menjadi himpunan 'sing-along' dan 'reunion' di antara saya dan para peminat sebab sudah lama tidak berjumpa," kongsi Sheila.

Selepas Singapura, Sheila berharap untuk menjelajah ke Indonesia pula bagi memenuhi pula permintaan peminat di sana.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita