Siapa kata Hyrul Anuar ‘kurang pakej’? 13 tahun bertahan dan single terbaru buktinya!
Jika dilihat kepada penyanyi-penyanyi Singapura yang masih bertahan sehingga kini, Hyrul Anuar semestinya salah seorang daripada mereka. Dalam diam, sudah 13 tahun lamanya beliau bergelar artis setelah menyertai pertandingan Anugerah 2005 anjuran TV Suria.
Gambar: Waniemaz
BERITAMediacorp: Jika dilihat kepada penyanyi-penyanyi Singapura yang masih bertahan sehingga kini, Hyrul Anuar semestinya salah seorang daripada mereka. Dalam diam, sudah 13 tahun lamanya beliau bergelar artis setelah menyertai pertandingan Anugerah 2005 anjuran TV Suria.
Di kalangan penyanyi-penyanyi lain yang muncul menerusi pertandingan menyanyi ataupun kaedah lain, ramai daripada mereka sudah angkat bendera putih.
Jadi, jika ada pihak yang mengatakan 'setakat ini sahaja Hyrul boleh pergi' kerana beliau kurang pakej untuk pergi jauh, Hyrul sudah siap dengan jawapannya.
“Kurang pakej? Saya hanya mampu ketawa. That is so passé. Sudah lama saya mendengarnya. Saya masih bertahan dan kekal relevan. Pada zaman sekarang, penggemar sudah lebih bijak menilai bakat dari sekadar rupa. Saya ikhlas dalam setiap tugasan, daripada persembahan pentas dan memberi bimbingan melalui pengalaman saya kepada bakat-bakat baharu.
Hasil terkini beliau ialah kemunculan single terbarunya berjudul DiBalik Senyum.
Lagu balada ciptaan Hyrul sendiri disusun dan diterbitkan bersama oleh Wawan Husen dari Ellonia Music. Sebelum ini, penyanyi ceria itu lebih dikenali menerusi lagu-lagu rancak seperti Mata dan Salahkan.
DiBalik Senyum sudah boleh diperolehi menerusi iTunes dan platform muzik lain bermula 26 Januari lalu.
“FAME IS NOT MY BENCKMARK” - HYRUL
Sebagai seorang artis, semestinya Hyrul bersandarkan kepada kejayaan-kejayaan lalu untuk terus memacunya. Beliau pernah juga berduet dengan Mimi One Nation Emcees dari Kuala Lumpur sebelum ini di mana lagu duet 'Sudah Mengapa' itu pernah menjuarai carta hits RIA pada suatu ketika dahulu dan berjaya dicalonkan untuk kategori serantau APM 2012.
Hyrul yang dihubungi baru-baru ini berkongsi pandangannya kepada BeritaMediacorp. Apakah Hyrul pernah berputus-asa seperti segelintir artis tempatan lain dan apakah yang memberinya inspirasi untuk terus menyanyi dan berkarya sehingga kini? Ini jawapannya kepada soalan BERITAMediacorp itu.
“Sebenarnya saya kurang gemar dengan penggunaan perkataan berputus asa. Fame is not my benchmark. Ia bukan kayu pengukur kepada kejayaan seseorang. Terutamanya sebagai penyanyi Singapura. Yang hanya memasarkan diri di negara sendiri , saya harus menggunakan segala wadah yang ada untuk membina kerjaya saya sendiri.
WADAH DIGITAL JADI PENGUPAYA PENYANYI MASA KINI
Sebelum album solonya dihasilkan, beliau pernah mempertaruhkan beberapa buah single seperti Pertama, Asal Kau Bahagia dan Tanda Kasih.
“Dahulu, saya hanya boleh bergantung pada stesen radio untuk memainkan lagu, tetapi bakat -bakat sekarang lebih beruntung dengan adanya media sosial dan pelbagai wadah digital muzik secara online di mana mereka boleh memasarkan muzik mereka sendiri. Lebih-lebih lagi jikalau mereka berbakat dalam menulis seni kata mahupun menghasilkan lagu. Terus kongsikan bakat yang ada,” ujarnya.
Sebagai artis yang mampu berkarya menghasilkan melodi serta lirik lagu sendiri, lagu terbarunya itu antara lain mewakili luahan hati Hyrul tentang kesukaran bertemu wanita pilihan hatinya.
Jelasnya tanpa berselindung: “Intipati lagu ini sebenarnya lebih mendalam daripada hanya mendambakan seorang teman hidup.”
Ketika beliau membesar, beliau tidak menjadikan pencarian teman istimewa sebagai prioriti kerana sudah terbiasa berdikari.
“Semakin dewasa, tanggungjawab pula semakin bertambah, timbul pula pelbagai perkara yang harus dipertimbangkan ketika ingin mencari seorang teman,” tambahnya.
MAHU KERJASAMA DENGAN AUBREY SUWITO, FAIZAL TAHIR KALAU BOLEH
Hyrul, yang kini berusia 32 tahun, akui akan rasa lebih puas untuk menulis senikata lagu sendiri dan meluahkan sejujurnya apa yang bermain di fikirannya.
“Ilham boleh datang dimana sahaja. Apabila ada melodi didalam kepalanya, saya akan secepat mungkin rakam ke audio recorder di telefon bimbitnya. Saya akan sesuaikan bait -bait lirik mengikut melodi sehingga lengkap sebuah lagu,” luah beliau.
Jika ada sesetengah artis tempatan memilih untuk mendapatkan lagu-lagu ciptaan komposer seberang tambak sebagai “killer song” untuk menaikkan populariti mereka, mengapa Hyrul tidak berbuat demikian? Ini jawapan beliau:
“Siapa tidak mahu mendapatkan khidmat komposer popular seberang tambak? Jikalau ada yang sudi bekerjasama, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Seandainya diberikan kesempatan, ingin juga bekerjasama dengan komposer seperti Aubrey Suwito, Faizal Tahir dan Haqiem Rusli.
“ Saya tabik pada teman-teman yang tidak henti berusaha untuk memperjuangkan cinta mereka kepada muzik dan bidang seni, bukan semata-mata ingin mengecap popularitI,” katanya jujur.
Pandangan negatif tidak pernah melemahkan semangat beliau. Sebaliknya, kongsi Hyrul, ia lebih meningkatkan semangatnya untuk mendidik pendengar dan penonton tentang keunikan artis-artis Singapura yang berbilang bakat - mengimbangi kerjaya dan minat pada bidang seni.
“Selagi saya berdaya mencipta muzik dan memberikan sumbangan dalam apa jua cara untuk industri ini, selagi itu saya akan terus berada di sini.” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.