Shila Amzah timba ilmu di China demi perbaiki mutu
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu ungkapan tepat bagi menggambarkan nasib penyanyi berbakat Nurshahila Amir Amzah.
Shila Amzah membuat persembahan di Asian Wave. (Gambar: Shila Amzah/Facebook)
KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu ungkapan tepat bagi menggambarkan nasib penyanyi berbakat Nurshahila Amir Amzah.
Beliau yang mesra dengan panggilan Shila Amzah, mula menempa nama dalam industri muzik peringkat global apabila bakatnya dijulang dalam Asian Wave, sebuah pertandingan nyanyian yang diadakan di Shanghai, China pada 2012.
Menurut laporan Astro AWANI, sejak daripada itu, beliau terus melebarkan sayapnya di China yang disifatkan sebagai mata pencarian untuk Shila berkarya dalam bidang nyanyian.
Baru-baru ini pula, Shila Amzah menjadi penyanyi pertama di Malaysia untuk mencatat nama dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.
Antara faktor yang melayakkan beliau tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 adalah disebabkan kelainan yang dipersembahkan, kata Shila kepada Astro AWANI.
"Saya bukan sahaja bergiat aktif dalam industri di Malaysia dan China, malah saya juga memenuhi permintaan di Hong Kong.
"Selama 18 tahun saya melibatkan diri dalam industri ini, saya telah membuktikan kepelbagaian dalam bentuk persembahan saya contohnya menghasilkan lagu Mandarin buat peminat di China dan itu antara faktor yang melayakkan saya untuk menerima pengiktirafan berprestij sebegini.
"Pada pandangan saya, saya mahu pastikan tiada halangan untuk berkarya terutamanya dalam bahasa lain kerana pada saya kepelbagaian budaya dan bahasa dalam persembahan akan menyatukan orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, beliau menambah bahawa peluang untuk memperbaiki mutu persembahan agak kurang di Malaysia. Justeru, Shila mengambil keputusan untuk menimba ilmu serta pengalaman di China.
“Saya rasa peluang untuk memperbaiki mutu persembahan saya agak kurang di tanah air, dan saya mengambil keputusan untuk mantapkan dan hasilkan lebih banyak karya di China kemudian pulang ke Malaysia dan sumbangkan apa yang saya ada,” ujarnya.
Astro AWANI turut melaporkan bahawa beliau dan pasangan pilihannya Haris Idraki Elias, 28 tahun, akan mendirikan rumah tangga 19 April ini.
Namun, tarikh resepsi pasangan tersebut akan diumumkan kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.