Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Shila Amzah sah bergelar isteri kepada Ubai

Anggaran Waktu Membaca:
Shila Amzah sah bergelar isteri kepada Ubai

(Gambar: officialhlive/Instagram)

Diterbitkan : 05 Aug 2023 03:31PM Dikemas Kini : 05 Aug 2023 03:34PM
AMPANG: Penyanyi Shila Amzah, 33, selamat bergelar isteri kepada kepada pempengaruh media sosial, Ubai Mz, 25, di Boathouse Ampang pada 10.27 pagi tadi (5 Ogos).

Dengan sekali lafaz, pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan yang juga penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Hai Mohamad Khairi Hussein, lapor BH Online.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 (S$5,880) daripada Ubai, manakala hantaran dirahsiakan.

Shila turut berkata beliau bersyukur kini bergelar isteri Ubai.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat llahi atas kelancaran majlis pernikahan, pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati Allah.

"Saya lega kerana selepas melalui fasa pertunangan pada 27 Mei lalu, kami disatukan sebagai suami isteri di hadapan ahli keluarga terdekat dan sahabat yang disayangi.

"Harapan semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus.

"Apa yang paling penting kami dapat menjaga anak, Seth Uwais dengan penuh kasih sayang," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

"Insya-Allah, saya sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah yang terbaik untuk Shila dan Seth. Doakan semoga ikatan perkahwinan terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat," katanya.

Semasa ditanya tentang lokasi berbulan madu, Ubai berkata mereka belum ada perancangan memandangkan sibuk dengan tuntutan kerja.

"Disebabkan kekangan masa, kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu.

"Namun, mungkin akan ada percutian pendek dalam negara terlebih dahulu," katanya.

Turut hadir pada majlis pernikahan itu termasuklah rakan artis seperti Fara Fauzana, Zara Zya, Marsha Milan, Amylea, Jihan Muse dan Jaclyn Victor.

Menurut BH Online, terdapat dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan ahli keluarga, artis dan rakan kongsi dari pelbagai negara.

Sebelum ini, pasangan berkenaan melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Mei lalu.

Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan tersebut, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan