Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sheila Majid diundang kongsi pentas jayakan konsert ulang tahun ke-25 kugiran Padi

Anggaran Waktu Membaca:
Sheila Majid diundang kongsi pentas jayakan konsert ulang tahun ke-25 kugiran Padi

Penyanyi Sheila Majid. (Gambar: @padiband/Instagram)

KUALA LUMPUR: Kugiran popular dari Indonesia, Padi, bakal berkongsi pentas dengan Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid, yang diundang sebagai penyanyi jemputan di Konsert 25 Tahun Padi Reborn pada 3 Disember ini.
Piyu, yang merupakan pengasas serta pemain gitar Padi Reborn, berkata pemilihan Sheila Majid dilihat bersesuaian dengan taraf legenda yang diberikan kepada pelantun lagu "Sinaran" itu.

"Kami juga peminat Sheila dan dia merupakan penyanyi legenda Malaysia. Tambahan pula, persembahan ini nanti adalah sesuatu yang baru buat kami juga."

“Jika diimbas kembali, kami pun pernah berkolaborasi bersama pada 2005 menerusi lagu Antara Anyer Dan Jakarta di Indonesia. Ketika itu, untuk persembahan tertutup sahaja. Selepas itu, kami sekali lagi bekerjasama pada 2018 di acara sambutan tahun baru di sebuah stesen TV di Indonesia."

"Insya-Allah, kami akan menyampaikan lagu hits Sheila dan bersama-sama menyanyikan lagu Padi Reborn di konsert ini nanti. Lagu apa yang bakal kami persembahkan, biarlah jadi kejutan. Mudah-mudahan kami dapat memberikan yang terbaik," katanya kepada Astro Gempak.

Padi Reborn, yang dianggotai oleh Piyu, Fadly (penyanyi), Ari (oemain gitar), Rindra (pemain bass) dan Yoyo (pemain dram) ditemui semasa sesi temu bual secara online baru-baru ini sempena Padi Reborn 25 Tahun Live in Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi Sheila Majid, dia berbesar hati dan terharu dijemput bagi menjayakan konsert itu.

"Saya rasa berbesar hati dan terharu dijemput sebagai penyanyi undangan oleh pihak Padi Reborn dan penganjur, Qew Comm, untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 mereka pada Konsert Padi Reborn 25 Years Live In Kuala Lumpur."

"Seingat saya, kami belum pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert atau persembahan namun pernah berkongsi pentas yang sama dalam sebuah acara tahun baru di Yogyakarta pada 2018."

"Saya berharap peminat akan dapat datang dan sama-sama menyaksikan kerjasama perdana kami dalam konsert ini. Mengenai lagu, perlu tunggu dan lihat kerana ini juga elemen kejutan buat peminat. Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan," katanya, dipetik daripada Astro Gempak.

Pengarah Qew Comm, Rahizahwati Yahya selaku penganjur, pula berkata tiket konsert berkenaan sudah lebih separuh terjual.

"Alhamdulillah, penjualan tiket sudah lebih separuh terjual. Kami mengharapkan sehingga konsert ini berjalan, penjualan akan lebih banyak. Sebenarnya, untuk sambutan berpecah ke konsert lain, kami percaya konsert ini ada sesuatu yang istimewa," ujarnya.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan