Skip to main content

Hiburan

Shazza, Azura Goh teruja kongsi pentas dengan artis antarabangsa bagi pesta muzik CLOUD 9

Anggaran Waktu Membaca:
Shazza, Azura Goh teruja kongsi pentas dengan artis antarabangsa bagi pesta muzik CLOUD 9

Dari Kiri: Artis tempatan, Shazza dan pengacara pesta muzik anjuran CLOUD 9 & Personaliti Mediacorp, Azura Goh (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Feb 2025 05:29PM Dikemas Kini : 12 Feb 2025 05:30PM
SINGAPURA: Sebuah pesta muzik anjuran Mediacorp, CLOUD 9, bakal menggegarkan pentas di Arena di Dewan 7 EXPO pada 15 Februari ini!

Selama hampir 6 jam bermula 5.00 petang, para pencinta muzik bakal dihiburkan dengan persembahan-persembahan menarik oleh barisan artis dari dalam dan luar negara.

Dengan tema "Feel the Beat and Catch the High", pelbagai genre lagu bakal dipersembahkan termasuk lagu-lagu hip-hop dan R&B oleh artis rap Korea Selatan, B.I, dan kumpulan pop sensasi dari Malaysia, DOLLA.

Artis tempatan Shazza dan pelantun lagu 'Swipe', ALYPH juga akan menghiburkan para hadirin.

Penyanyi yang semakin meningkat namanya, Shazza, 24 tahun teruja dapat berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam pesta muzik itu.

"Saya rasa bersyukur dan besar hati sebab diberi peluang ini. Ini merupakan pertama kali CLOUD 9 diadakan dan oleh sebab itu saya rasa lebih teruja atas penglibatan saya!

"Saya menganggap acara baharu ini sebagai satu cara untuk meletakkan muzik tempatan dan muzik luar negara pada tahap yang sama dan itu adalah satu objektif yang amat penting pada pendapat saya sebagai seorang artis," kongsi Shazza.

Lebih istimewa lagi, beliau akan menyanyikan lagu terbaharunya 'Perfume' buat pertama kali secara langsung.

"Saya akan menyanyi beberapa lagu 'original' yang saya gemari, termasuk lagu terbaru saya yang berjudul 'Perfume'. Ini merupakan pertama kali saya akan mempersembahkan lagu 'Perfume' secara 'live' dengan kugiran saya sejak ia diterbitkan pada Januari," kata Shazza.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)

BERPELUANG SAKSIKAN PERSONALITI MEDIACORP KEGEMARAN

Bagi membangkitkan lagi kemeriahan pesta muzik itu, pengacara Azura Goh, Ezam Ernady, Joakim Gomez dan Sonia Chew akan berganding bahu untuk mengemudi acara itu.

"Untuk saya sebagai pengacara, saya hanya ingin pastikan saya seronok supaya tenaga tersebut sampai juga pada para penonton dan mereka dapat betul-betul rasakan kemeriahannya," kongsi Azura.

Menurutnya lagi, pesta muzik CLOUD 9 ada keunikannya tersendiri berbanding pesta muzik yang lazim diadakan.

"Antara kejutan menarik buat para penonton adalah ini sebuah festival muzik yang menampilkan artis-artis tempatan dan juga antarabangsa yang beraksi dalam bahasa-bahasa yang berbeza. Ini jarang sekali dilihat semuanya dalam satu festival," kata Azura.

Selain itu, pesta muzik CLOUD 9 juga bakal menyajikan pelbagai aktiviti sampingan seperti peluang berswafoto di ruang-ruang tersedia serta dapat mengunjungi reruai-reruai interaktif.

Tiket-tiket boleh didapatkan di sini.

Ada juga potongan harga buat pendengar melisten sebanyak S$8 bagi setiap tiket.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita