Skip to main content

Hiburan

Shaw Theatres satu-satunya pawagam di Asia Tenggara tayang The Odyssey dalam format filem 35mm

Anggaran Waktu Membaca:
Shaw Theatres satu-satunya pawagam di Asia Tenggara tayang The Odyssey dalam format filem 35mm

Gambar yang diterbitkan oleh Universal Pictures ini memaparkan Matt Damon sebagai watak Odysseus (kiri) dalam satu babak filem The Odyssey. (Gambar: Universal Pictures menerusi AP/Melinda Sue Gordon)

Diterbitkan : 15 Jul 2026 09:07PM Dikemas Kini : 15 Jul 2026 11:11PM
SINGAPURA: Rangkaian pawagam Shaw Theatres akan menjadi satu-satunya pawagam di Asia Tenggara yang menayangkan filem terbaharu arahan Christopher Nolan, The Odyssey, dalam format filem 35mm.

Filem itu menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Matt Damon, Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson dan Lupita Nyong'o. Ia juga merupakan filem pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera filem IMAX 70mm.

Pengumuman itu diumumkan sejurus selepas Shaw Theatres mengesahkan bahawa pihaknya telah memulihkan dua projektor filem 35mm asal dari 1993 di cawangannya yang baru dinaik taraf di Lido.

Menurut Shaw Theatres, langkah itu bertujuan untuk menyokong penganjuran festival filem serta acara khas yang menampilkan tayangan dalam format 35mm.

Naib Presiden Eksekutif Shaw Theatres, Christopher Shaw, berkata kali terakhir syarikat itu menayangkan filem dalam format 35mm adalah kira-kira 13 tahun lalu menerusi filem Hyde Park on Hudson, yang dibintangi Bill Murray dan Laura Linney.

"Secara kebetulan, tayangan pertama kami dalam format filem 35mm merupakan The Odyssey, yang dirakam sepenuhnya menggunakan filem.

"Lido merupakan satu-satunya lokasi di Asia Tenggara yang akan menayangkan The Odyssey menggunakan pita filem sebenar. Jadi, saksikannya. Ia adalah pengalaman yang hanya boleh dinikmati di pawagam sahaja," tambah beliau.

Shaw turut memaklumkan bahawa beberapa kakitangan asal yang mahir mengendalikan projektor filem 35mm masih bertugas di syarikat itu, manakala lebih ramai kakitangan kini sedang dilatih untuk mengendalikan peralatan tersebut.

Projektor 35mm yang dipulihkan itu dipasang di dewan Lido 1 dan Lumiere Grand. Kedua-dua dewan tersebut turut dilengkapi sistem unjuran laser digital Barco 4K serta sistem audio Dolby 7.1.

Namum, tayangan The Odyssey dalam format 35mm hanya akan diadakan di dewan Lumiere Grand, yang menawarkan dua pilihan tempat duduk: kerusi baring serta sofa klasik.

Shaw Theatres akan mengadakan tayangan terhad The Odyssey dalam format 35mm mulai Khamis (16 Jul).

Selain itu, rangkaian pawagam tersebut turut menyediakan pelbagai cenderamata dan barangan koleksi sempena tayangan filem itu.

Antaranya, penonton yang membeli tiket bagi tayangan 35mm akan menerima poster karya seni bersaiz A3 secara percuma, selagi stok masih ada. Hanya 650 keping poster disediakan.

Sementara itu, mereka yang membeli sekurang-kurangnya dua tiket IMAX dalam satu transaksi akan menerima pin koleksi khas filem tersebut.

Maklumat lanjut mengenai promosi dan tayangan boleh didapati menerusi laman rasmi Shaw Theatres.
Sumber : CNA/FD/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita