Sharnaaz Ahmad didakwa cederakan pengawal keselamatan
Pelakon Malaysia Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini (18 Jan) atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada tahun lalu.
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Pelakon Malaysia Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini (18 Jan) atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada tahun lalu.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27 tahun, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas pada pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 (S$608) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sharnaaz, yang berbaju kemeja biru gelap dan berseluar hitam, kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.
Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM5,000 (S$1,521) manakala peguam Abu Bakar Isa Ramat, yang mewakili Sharnaaz, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan.
“Anak guam saya telah ditangkap sekitar Jun 2022 dan selepas enam bulan baru dia dituduh. Dia telah direman selama empat hari dan tiada risiko untuk anak guam melarikan diri.
“Pihak pembelaan juga bercadang untuk menghantar representasi kepada pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan,” kata peguam itu yang hadir bersama seorang lagi peguam, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff.
Menurut Encik Abu Bakar, anak guamnya, bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun, kini sedang menjalani penggambaran filem ‘The Original Gangster’.
Mahkamah membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 (S$3,600) dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan bagi serahan dokumen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.