Skip to main content

Hiburan

Shah Iskandar kembali genggam trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian selepas sedekad

Anggaran Waktu Membaca:
Shah Iskandar kembali genggam trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian selepas sedekad

Gambar: beritaharian/Instagram

SHAH ALAM: Selepas sedekad, pelakon asal Singapura, Shah Iskandar, kembali ke pentas berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dengan merangkul trofi Aktor Pembantu TV Popular bagi edisi ke-36 acara anugerah berprestij itu.

Shah, 42 tahun, menewaskan Azhan Rani, Mierul Aiman, Nadhir Nasar dan Wanns Ahmad.

"Kalau lihat senarai calon lain, memang bukan 'kaleng-kaleng' kerana ada antara mereka pernah tular dengan drama lakonan mereka," ulas Shah dalam satu wawancara bersama BH Online.

"Jujurnya sampai sekarang saya masih lagi tertanya-tanya siapa yang undi saya selain keluarga dan rakan-rakan. Saya teringin nak tahu kerana tak mahulah orang buat spekulasi kemenangan saya ini kata saya beli undi," tambah beliau.

"Selepas ini, kelab peminat saya akan dihidupkam kembali. Kawan saya yang akan kendalikannya."

Menurut BH Online, Shah pernah meraih trofi Pelakon TV Lelaki Popular dua tahun berturut-turut, iaitu pada ABPBH 2013 dan 2014.

Kemenangan terbaharu bagaimanapun membuktikan Shah atau nama penuhnya, Shah Iskandar Mahfuz, masih relevan.

Watak sebagai Adam Zikri yang dibawa dalam drama 'Ku Akad Kau Dengan Bismillah' yang disiarkan TV3, cukup berkesan hingga menarik perhatian ramai, lapor BH Online.

Shah mula berkecimpung dalam bidang lakonan pada 2006 ketika menuntut dalam bidang perfileman di Politeknik Ngee Ann.

Beliau kemudian menyertai pertandingan realiti, Anugerah Skrin dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

Shah selanjutnya ditawarkan Yusof Haslam untuk membawa watak Inspektor Hisham, iaitu anak Sub Inspektor Hashim lakonan A Galak, dalam siri kepolisan popular, Gerak Khas yang diterbitkan Skop Productions pada 2009.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita