Sesi ramah mesra bertukar tragedi; lelaki disangka peminat serang pelakon M'sia Kamal Adli

Pasangan pelakon dari Malaysia, Uqasha Senrose dan Kamal Adli. (Gambar: Uqasha Senrose/Instagram)
KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli cedera parah selepas seorang lelaki menyerangnya secara tiba-tiba menggunakan cota, iaitu senjata berbentuk kayu pendek dan berat, di acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura pada Ahad malam (12 Mac).
Insiden berlaku sewaktu Kamal dan isterinya yang juga pelakon, Uqasha Senrose, sedang beramah mesra dengan para peminat dalam sesi bergambar di acara yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.
Uqasha berkata insiden tidak diduga itu berlaku dalam sekelip mata ketika mereka berdua sedang melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan gambar kenangan bersama sekitar pukul 9.00 hingga 10.00 malam, lapor Astro Awani.
"Kami ada acara ekspo di Singapura. Hari ini adalah hari terakhir dan kami dah nak selesai. Lebih kurang jam 10.00 malam, ada seorang makcik nak bergambar di kerusi roda.
"Saya dan suami bergambar dengan makcik itu. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana," kata Uqasha sambil menambah bahawa mereka menyangkakan lelaki berkenaan adalah seorang peminat.
"Kamal tegur dia, tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala Kamal.
"Darah berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam," dakwa Uqasha kepada portal BH Online yang menghubunginya di Singapura.

Insiden yang menimpa pasangan selebriti itu menjadi kecoh apabila Uqasha memuat naik video pendek ke Instagram, antara lain memaparkan dirinya sedang menangis.
"Saya sedih kerana Kamal perlu jalani pembedahan sebab belakang kepala luka panjang. Mungkin dia kena ditidurkan.
"Saya tak boleh nak masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma boleh buat laporan polis di Singapura," ungkapnya.
Uqasha juga meluahkan kerisauannya apabila dia dan adik-beradiknya turut menerima ugutan daripada individu berkenaan, lapor Harian Metro.
"Bila dia dah ditangkap oleh orang awam, dia berikan beberapa alasan antaranya, konon dia dihantar oleh satu pihak. Kemudian katanya, dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.
Bahkan menurut Uqasha, lelaki itu tidak hanya menyerang Kamal tetapi juga mengugut adik-beradiknya yang turut ada bersama-sama dengan pasangan berkenaan ketika insiden berlaku.
"Yang menjadi kerisauan kami, dia sempat memberikan ugutan kepada kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik-beradik saya dan akan menanggung akibatnya.
"Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan," ujar Uqasha, dipetik Harian Metro.
Awal dari itu, Uqasha memuat naik video pendek ke Instagram memohon orang ramai mendoakan suaminya yang perlu menjalani "pembedahan besar kerana lubang dan bocor koyak di belakang kepala".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.