Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Selepas fenomena ‘Black Panther’, akan adakah Superhero Melayu dari Marvel, DC Comic?

Anda sudah menonton filem Black Panther? Yang pasti jutaan orang di seluruh sudah menontonnya di pawagam sehingga filem tersebut kini mengutip lebih AS$500 juta dalam bentuk kutipan tiket.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas fenomena ‘Black Panther’, akan adakah Superhero Melayu dari Marvel, DC Comic?

Filem Black Panther kutip lebih AS$500 juta dalam bentuk kutipan tiket. (Gambar: Black Panther/ Facebook)

SINGAPURA: Anda sudah menonton filem Black Panther? Yang pasti jutaan orang di seluruh dunia sudah menontonnya di pawagam sehingga filem tersebut kini mengutip lebih AS$500 juta dalam bentuk kutipan tiket.

Di Singapura juga ramai yang memuji filem tersebut dan berpusu-pusu ke pawagam untuk menyaksikan filem ‘superhero’ kulit hitam pertama dalam filem ‘blockbuster’.

Keberanian Marvel Studios menampilkan hero ‘berdarah Afrika’ - dibintangi Chadwick Boseman - dengan kebanyakan watak utamanya diterajui pelakon kulit hitam, menimbulkan satu persoalan. Bilakah agaknya akan muncul nanti seorang ‘superhero’ Melayu? Bilakah Marvel Studios atau DC Comics akan juga mempromosikan hero Melayu dan dicedok Hollywood untuk tatapan masyarakat global?

Kebanyakan watak utama Black Panther diterajui pelakon kulit hitam. (Gambar: Lupita Nyong'o/ Entertainment Weekly/ Facebook)

Kebanyakan watak utama Black Panther diterajui pelakon kulit hitam. (Gambar: Lupita Nyong'o/ Entertainment Weekly/ Facebook)

Dua pengarah filem Melayu yang BERITAMediacorp temui, Sanif Olek dan M. Raihan Halim, dengan positif menyatakan, ia bukan soal ‘akan ada atau tidak’, tetapi lebih kepada ‘bila beliau akan muncul’.

KEHEBATAN BLACK PANTHER

Filem Black Panther popular atas faktor-faktor unik. Bukan sekadar hero tampan dan elemen futuristik tetapi juga paparan watak dan latar yang baru dan segar. Ia menaikkan martabat orang kulit hitam Afrika, menerusi paparan bahawa mereka lebih maju daripada masyarakat kulit putih.

Tidak seperti paparan media Barat tentang Afrika selama ini sebagai benua yang mundur, Black Panther sebaliknya memaparkan masyarakat Afrika hidup dalam sekitaran serba canggih. Ia cuba memecahkan kepompong psikologi tentang bangsa Afrika. Yang pasti filem itu memecahkan siling kaca terhadap tanggapan bahawa filem Afrika atau kulit hitam, tidak boleh bikin duit atau menarik perhatian dunia.

Budaya dan nilai-nilai tradisional Afrika dikekalkan dalam filem futuristik Black Panther. (Gambar: Black Panther/ Facebook)

Budaya dan nilai-nilai tradisional Afrika dikekalkan dalam filem futuristik Black Panther. (Gambar: Black Panther/ Facebook)

Dalam filem tersebut, kemajuan teknologi tidak 100 peratus membayangi dunia ‘Wakanda’ yang dipimpin Black Panther. Orang Afrika dipaparkan sebagai mengekalkan budaya dan nilai-nilai tradisional mereka, meskipun ada pembangunan yang pesat.

Barisan pelakon dalam filem tersebut tidak bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan ‘slang’ orang putih. Tetapi sebaliknya mereka tetap bertutur dalam loghat asli mereka.

Seorang pelajar kulit hitam di Amerika Syarikat bernama Leo Mumpfield, yang menonton filem tersebut berkata: “Ia sungguh bermakna kepada masyarakat saya, kaum saya, segala-galanya. Ia sungguh bermakna kepada saya kerana semasa membesar, saya mahu melihat seorang Supehero kulit hitam. Akhirnya saya dapat melihatnya.”

Barisan pelakon filem Thor dan Black Panther. (Gambar: Black Panther/ Facebook)

Barisan pelakon Marvel Studios dari filem Thor dan Black Panther. (Gambar: Black Panther/ Facebook)

Mark Ornstein, adalah lelaki kulit putih yang menjadi CEO University Prep Schools. Ini luahan beliau: “Kami akan sertakan banyak iktibar daripada filem (Black Panther) itu dalam kelas-kelas pendidikan sosial kami, dalam kelas sejarah, dan juga dalam kelas bahasa Inggeris."

BILA PULA AKAN ADA HERO MELAYU OLEH MARVEL, HOLLYWOOD?

Hakikatnya, filem itu menjadi suatu kebanggaan bagi masyarakat Afrika, walaupun dihasilkan di Hollywood. Bagaimana pula dengan Hero Melayu? Bila dan siapa agaknya yang patut diangkat menjadi Superhero Melayu Marvel atau DC?

Memang tidak dapat dinafikan filem ini bagus sekali, kata Sanif Olek kepada BERITAMediacorp, yang mengakui bahawa sebelum ini beliau bukanlah seorang penggemar filem-filem aksi Marvel.

Pengarah tempatan, Sanif Olek (kiri). (Gambar: @sanifoo/Instagram)

Pengarah tempatan, Sanif Olek (kanan). (Gambar: @sanifoo/Instagram)

Namun, dengan kejayaan masyarakat Afrika ‘menembusi' Hollywood, beliau kini berharap satu hari nanti, masyarakat Melayu juga mampu menempa nama di Hollywood dan mempunyai 'Hero Melayu' dalam filem-filem Marvel.

"Filem ini dipaparkan dalam perspektif yang berbeza di mana watak-watak dan latar masyarakat digambarkan bertentangan dengan apa yang sering kita fikirkan. Jika ada filem hero Melayu, saya harap akan ada pendekatan yang sama," kata beliau.

HERO MELAYU PERLU DIPAPAR DARI PERSPEKTIF BARU

Jika direnungkan kembali, kita sudahpun mempunyai hero dalam persada filem. Siapa yang tidak kenal 'Cicakman'. Baru-baru ini pula, ada 'Badang' yang masih lagi ditayangkan di pawagam.

"Saya memuji mereka yang mencuba menampilkan hero Melayu dalam filem-filem Melayu," kata Sanif Olek.

Namun ada jurang sangat besar antara filem-filem sedemikian dengan filem 'Black Panther'.

Filem Badang dan Cicakman antara filem 'superhero' Melayu yang ada. (Gambar: Badang The Movie/ Cicakman 3/ Facebook)

Filem Badang dan Cicakman antara filem 'superhero' Melayu yang ada. (Gambar: Badang The Movie/ Cicakman 3/ Facebook)

“Ini tahun 2018 di mana kita tidak lagi perlu meletakkan stigma-stigma yang ada pada watak hero Melayu. Malah, kita perlu cuba untuk menghapuskan segala tanggapan yang ada dan memaparkan masyarakat kita daripada perspektif yang baru. Saya menantikan filem di mana masyarakat Melayu dipaparkan hidup dalam satu masyarakat unik seperti 'Wakanda' yang futuristik tetapi masih mengekalkan jati diri mereka," tambah beliau.

Menurut Sanif lagi, pembuat filem kini perlu menjadi lebih berwawasan.

"Naratif watak Melayu yang terpinggir, dari kelas pertengahan... Semua ini sudah biasa dan kurang menarik. Kalau kita lihat filem 'Black Panther', dari awal lagi watak utamanya, T’Challa, sudahpun berkedudukan tinggi, sesuatu yang menarik. Mereka tidak ditenggelami elemen-elemen kolonial," kata beliau.

HERO MELAYU PASTI MUNCUL - PERSOALANNYA BILA

Seperti Sanif Olek, seorang lagi pengarah filem tempatan, M. Raihan Halim juga berharap akan ada adiwira Melayu di persada filem antarabangsa kelak. Malah, pengarah filem Banting itu mengatakan hero Melayu yang terkenal di dunia sesuatu yang “pasti".

(Gambar: Banting Film/ Facebook). 

M. Raihan Halim (kanan) percaya banyak persiapan perlu dilakukan untuk menghasilkan filem adiwira Melayu yang berjaya. (Gambar: Banting Film/ Facebook)

Namun, apa yang harus dipersoalkan adalah “bila” akan ada hero sedemikian. Usahanya perlu ditanam dari sekarang.

“Marvel Studios mempunyai hak untuk menghasilkan filem Black Panther sejak hampir 10 tahun lalu. Tapi mengapa mereka tidak menghasilkan filem ini terlebih dahulu? Ini kerana waktu itu belum tepat lagi pada masa itu,” jelas Raihan.

“Ia mengambil 10 tahun bagi para penonton untuk mengenali Iron Man, Captain America dan wira-wira Marvel yang lain… sebelum mereka mengenali siapa itu Black Panther yang baru-baru ini mempunyai filemnya sendiri.”

FAKTOR BUDAYA & BLACK PANTHER VERSI MELAYU

Satu lagi faktor yang membuat 'Black Panther' popular adalah ia 'relatable' ataupun mampu menghibur para penonton dari merata pelusuk dunia, dengan naratif yang mudah difahami. Demikian menurut Sanif Olek.

(Gambar: @sanifoo/ Instagram)

(Gambar: @sanifoo/ Instagram)

Menurutnya, kini belia Melayu memang sudah menunjukkan minat mereka untuk menceburi kegiatan kebudayaan Melayu seperti tarian dan seni silat. Namun, mereka juga perlu memikirkan cara-cara memperkenalkan Melayu di peringkat antarabangsa.

"Mungkin sudah saatnya untuk melihat ke arah global,” kata Sanif.

Namun, Raihan pula mengingatkan bahawa filem ‘Black Panther’ tidak dihasilkan dalam tempoh yang singkat.

“Ia bukan sesuatu yang dapat dicapai dengan mudah. Ia memerlukan banyak perancangan – malah ia akan mengambil masa bertahun-tahun – sebelum kita dapat mencapai kejayaan seperti itu. Perjalanan untuk menghasilkan filem 'superhero' seperti Black Panther tidak akan mudah kerana dunia tahu tentang budaya Afrika (dan ini bukan perkara sama bagi budaya Melayu),” jelas Raihan.

“Kalau penonton tempatan kami sendiri kurang tahu tentang budaya kita – bagaimana pula dengan dunia?”.

Raihan memberitahu BERITAMediacorp, jika boleh beliau sendiri berharap dapat menjadi orangnya yang menghasilkan ‘Black Panther Melayu’. Yang pasti, beliaulah orang pertama yang akan menyokong individu yang nantinya membuat 'superhero' Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan