Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Selepas 5 tahun, Sheila Majid bakal jayakan konsert ubati rindu peminat

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas 5 tahun, Sheila Majid bakal jayakan konsert ubati rindu peminat

(Gambar: astrogempak/Instagram)


PETALING JAYA: Mengimbau kembali kenangan konsert pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), penyanyi tersohor, Sheila Majid, memilih mengadakan Konsert 'Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023' di lokasi yang sama.

Kata Sheila, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mac tahun depan itu khusus buat peminatnya yang tidak putus merindui persembahannya.

"Saya cukup berbesar hati mengadakan konsert ini, apatah lagi ia diadakan bagi menyahut permintaan peminat. Ramai peminat bertanya bila nak buat konsert apabila melihat industri muzik semakin rancak dengan konsert penyanyi tempatan."

"Jadi, sebelum berehat untuk Ramadan tahun depan, saya akan tampil dengan satu konsert khas buat peminat. Istimewanya konsert ini juga apabila diadakan di lokasi konsert pertama saya, Konsert Warna," katanya kepada agensi berita BH Online.

Bagaimanapun, kata Sheila, pihaknya tidak akan menambah hari kedua sekiranya tiket konsert 'Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023' habis dijual.

"Saya sebenarnya suka buat satu malam sahaja. Bagi saya, ia momen istimewa yang boleh dirasai buat satu malam dan selepas itu, tiada lagi."

"Kalau konsert amal, saya boleh lakukan untuk malam kedua tetapi selalunya untuk konsert berskala besar, tiada malam kedua buat saya," ujarnya kepada BH Online.

"Jika peminat nak lagi, mereka boleh datang do konsert seterusnya. Sebab kadang-kadang kita tidak boleh terlalu bercita-cita tinggi, buat apa anjurkan dua atau tiga malam tetapi tidak laku."

"Jadi, siapa yang nak tengok konsert saya kena beli tiket cepat. Saya tahu ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis, mereka tak percaya. Mereka ingat bila pergi ke lokasi, tiket masih ada dijual."

"Saya mahu ubah persepsi sebab saya memang tidak akan tampil untuk malam kedua," terangnya.

Berkongsi lanjut, Sheila menjanjikan persembahan berbeza daripada konsert sebelum ini. Konsert bakal menjelang ini akan melibatkan 23 pemuzik dengan penyusunan lagu-lagu yang lebih segar.

"Ini kali pertama saya akan menampilkan Big Band. Ia di mana Big Band adalah satu konsep stail muzik berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini."

"Disebabkan itu, saya sendiri tidak sabar dan teruja nak tengok penyusunan muzik oleh pengarah muzik, Mac Chew."

"Kami pastinya akan memberikan persembahan menarik pada malam itu," katanya yang akan membuat persembahan selama dua setengah jam.

Bagi memastikan pementasan memuaskan meskipun pada usianya 57 tahun, Sheila memberitahu BH Online dia sudah mula membuat latihan dan persediaan seperti bersenam.

"Saya sudah lama konsisten bersenam. Sebagai penyanyi dan penghibur, saya perlu sentiasa bersedia."

"Jadi, saya mengambil berat mengenai kesihatan dan menjaga stamina saya."

"Ini adalah periuk nasi. Kalau saya tak jaga stamina, selamat tinggallah jawabnya. Saya juga berfikiran di mana orang bayar untuk melihat persembahan, jadi takkan mahu buat ala kadar."

"Saya kena fikir peminat keluarkan duit untuk melihat persembahan kita. Jadi, persediaan dan latihan baik sangat penting agar peminat berpuas hati dengan menikmati persembahan," katanya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan