Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Selebriti media sosial dominasi kategori Anugerah Personaliti Lelaki Popular Pesta Perdana 2023

Anggaran Waktu Membaca:
 Selebriti media sosial dominasi kategori Anugerah Personaliti Lelaki Popular Pesta Perdana 2023

4 daripada 5 calon Anugerah Personaliti Lelaki Popular Pesta Perdana 2023 merupakan selebriti media sosial. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 29 May 2023 07:00PM Dikemas Kini : 29 May 2023 08:16PM

SINGAPURA: Empat daripada lima calon akhir bagi kategori Anugerah Personaliti Lelaki Popular Pesta Perdana kali ini merupakan selebriti media sosial. 

Empat calon itu adalah Hafidz Rahman, Hafiz Aziz, Shafie Aziz dan Zhin Sadali. 

Hafidz Rahman lebih dikenali sebagai 'Bonda Bedah' dalam video Lepak One Corner di YouTube dan meraih lebih 116,000 pengikut di Instagram. 

Duo Hafiz Aziz dan Shafie Aziz pula popular menerusi lakonan mereka dalam drama-drama seram yang dimuatnaikkan ke akaun UXM di saluran YouTube . Dalam masa enam bulan sahaja, video "CERITA HANTU: The Movie" mereka sudah ditonton lebih 934,000 kali. 

Seorang lagi selebriti media sosial yang berjaya menempah tempat sebagai finalis dalam kategori tersebut ialah Zhin Sadali yang mempunyai lebih 20,000 pengikut di Instagram. Zhin juga kini lebih sering muncul di kaca televisyen selaku pengacara dan pelakon drama SURIA. 

NORMAN ISHAK SATU-SATUNYA BUKAN SELEBRITI MEDIA SOSIAL 

Satu-satunya artis dalam senarai itu yang tidak terbit dari media sosial ialah Norman Ishak. Pelakon berusia 33 tahun itu akan cuba mempertahankan gelarannya sebagai Personaliti Lelaki Popular yang dimenanginya dalam Pesta Perdana yang lalu. 

Norman Ishak cuba pertahankan gelaran Personaliti Lelaki Popular Pesta Perdana. (Gambar: Mediacorp)

Beliau juga pernah mengharumkan nama negara setelah berjaya merangkul Anugerah Persembahan Lelaki Utama Terbaik - Digital dalam acara Anugerah Televisyen Asia 2022. 

Norman berjaya mengetepikan pesaingnya dalam kategori itu termasuk Fattah Amin dan Syafiq Kyle dari Malaysia, Mark Lee dari Singapura dan Kim Soo-Hyun dari Korea Selatan.

Norman mula kerjaya seninya sebagai pelakon kanak-kanak dalam drama Sayang Semuanya. 

LAIN PULA HALNYA BAGI KATEGORI WANITA

Kategori Anugerah Personaliti Wanita Popular pula berbeza keadaannya. Satu-satunya selebriti media sosial, Farah Farook akan bersaing dengan empat lagi selebriti TV dalam kategori itu. 

Mereka adalah pelakon dan pengacara berbakat, Huda Ali, Lydia Asyiqin, Izyan Mellyna dan Endang Rahayu. 

Dalam Pesta Perdana yang lalu, kategori itu dimenangi Nurul Aini yang baru-baru ini mengumumkan bahawa dirinya undur diri daripada pencalonan bagi kategori berkenaan. 

Keputusan dua kategori itu akan ditentukan para penonton SURIA menerusi undian. 

Mereka boleh mula mengundi selebriti kegemaran mereka mulai 10 pagi pada Khamis (1 Jun) hingga 10 malam 17 Jun. Mereka boleh mengundi sebanyak 25 kali bagi setiap kategori setiap hari. 

TIGA 'IDOL' BUAT PERSEMBAHAN ISTIMEWA 

Bagi meriahkan lagi Pesta Perdana tahun ini, pelbagai persembahan istimewa bakal disajikan para artis dari dalam dan luar negara. 

Ini termasuk juara edisi pertama 'Malaysian Idol', Jaclyn Victor yang juga baru-baru ini memenangi pertandingan Gegar Vaganza. 

Pada malam Pesta Perdana 17 Jun nanti, Jaclyn Victor akan berkongsi pentas dengan juara edisi pertama 'Singapore Idol', Taufik Batisah bagi menyampaikan versi khas lagu Gemilang. 

Seorang lagi 'Idol' iaitu Hady Mirza juga akan menghiburkan penonton bersama kumpulan Nadi Singapura dengan lagu Apokalips. 

Gambar: Mediacorp

PESTA PERDANA 2023

Dengan tema 'Epilog Impian', Pesta Perdana 2023 akan disiarkan secara langsung di saluran SURIA pada 17 Jun ini. 

Ia akan bermula dengan rancangan Manja edisi khas Pesta Perdana pada 7 malam dan diikuti dengan segmen permaidani merah pada 7.30 malam. 

Acara Pesta Perdana 2023 pula akan disiarkan selepas BERITA pada 8.30 malam. 

Bagi merasakan debaran dan kehangatan suasana malam itu secara langsung di The Theatre di Mediacorp, para peminat boleh mendapatkan tiket menerusi aplikasi merewards mulai 1 Jun ini. 

Para penonton di rumah juga boleh menyaksikannya di mewatch dan YouTube Mediacorp Entertainment. 

Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan