Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Search sebulat suara pilih Denden Gonjalez jadi vokalis baru

Tiada lagi teka-teki; kugiran Search bersepakat melantik penyanyi kelahiran Indonesia, Denden Gonjales, 38 tahun, sebagai vokalis baru bagi projek kolaborasi antara dua negara.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Search sebulat suara pilih Denden Gonjalez jadi vokalis baru

penyanyi kelahiran Indonesia, Denden Gonjalez. (Gambar: Denden Gonjalez/Instagram)

Diterbitkan : 31 Dec 2021 09:20PM Dikemas Kini : 31 Dec 2021 09:20PM

KUALA LUMPUR: Tiada lagi teka-teki; kugiran Search bersepakat melantik penyanyi kelahiran Indonesia, Denden Gonjalez, 38 tahun, sebagai vokalis baru bagi projek kolaborasi antara dua negara.

Menurut Noordin Mohd Taib, semua anggota Search meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada kemampuan Denden untuk membawakan lagu-lagu bernada tinggi, bersesuaian dengan genre muzik kugiran tersebut, lapor Utusan.

“Di Indonesia, Denden tidak asing lagi dan pernah bekerjasama dengan penyanyi popular negara itu seperti Inka Christie dan Judika. Malah, dia juga mencuri tumpuan dunia berikutan aksinya dalam program ‘blind audition’ The Voice Bulgaria di mana dia membuat juri terpukau ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.

“Search memilih dia kerana suaranya dan dia boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search.

“Dengan usia yang masih muda iaitu 38 tahun, kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik. Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” kata Noordin.

Selain Noordin dan Kid di posisi gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bes mereka.

Yan, atau nama sebenarnya Amran Marsiman, bukanlah asing dengan Search.

Menurut Noordin, Yan pernah menganggotai Search menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985, selain pernah bersama Search dalam album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.

Noordin berkata Yan bersetuju untuk menyertai Search kerana keserasian bersama kumpulan itu.

“Yan memang serasi dengan Search. Dia sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika Search membuat persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat, pada 1991,” katanya lagi seperti ditukil Utusan.

Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram. Pae sebelum ini pernah diundang bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika arwah mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Search juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, yang mula beroperasi pada 31 Disember 2021.

Menurut Noordin, Search Rock Station adalah kedai yang menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti kemeja-T, kasut, topi dan pelbagai barangan lain.

“Ia juga menjual alat muzik seperti gitar serta menawarkan proses jual beli gitar di situ. Ada juga gitar milik saya dan Kid yang diletakkan di situ sebagai pameran.

“Ini termasuk pelbagai barangan koleksi peribadi saya dan Kid yang turut dijual dan dipamerkan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Search turut melancarkan laman web rasminya, www.fenomenasearch.com.

Laman tersebut dijadikan wadah rasmi Search di mana segala pengumuman, agenda, perjalanan Search, koleksi jualan Search dan berita-berita mutakhir akan dimuat naik di situ. Pada masa sama, ia juga adalah laluan penghubung untuk segala urus niaga secara rasmi.

Search juga sedang dalam proses menyediakan akaun media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube rasmi mereka, lapor Utusan

Sumber : Agensi berita/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa