Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Search bakal lancar 2 single terbaru, Endemik I & Endemik II

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Tampil sebagai kugiran rock mainstream pertama yang bakal membawa gegak gempita di seluruh pelosok dewan konsert bertaraf antarabangsa, Zepp Kuala Lumpur, Konsert Endemik Search menjadi acara wajib hadir kepada para peminatnya.

Selepas dua tahun diam terperuk melawan virus durjana COVID-19, Search sendiri mengalu-alukan kehadiran penonton secara bertemu muka dan menyaksikan sendiri kebangkitan perjalanan baru kugiran legenda itu.

Search ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini melahirkan keterujaan untuk beraksi, melepaskan tenaga dan adrenalin yang bertahun-tahun tersimpan untuk sebuah konsert berskala besar pada 4 dan 5 Jun ini.

“Konsert Endemik Search merupakan sebuah pelayaran baru Search. Kami bakal melancarkan single Endemik I dan Endemik II.

“Endemik merupakan eksperimen terbaru kami. Bukan lagi lagu yang berdurasi tiga atau empat minit, tetapi dunia kini lebih ke arah menghasilkan muzik antara lima ke enam minit.

“Semua yang mengikuti Search tahu kami akan sentiasa bereksperimentasi sejak dulu. Mencipta dan mencuba sesuatu yang baru dan itulah kami,” kata Amy seperti dinukil oleh Astro AWANI.

Menurut Amy, Endemik I merupakan sebuah lagu rentak pantas berkisarkan bagaimana dunia melawan COVID-19 dan Endemik II pula lebih kepada rentak balada tentang kehilangan yang dirasai sepanjang waktu duka itu.

Bukan lagi konsert ‘head banging’

Menjelaskan lebih lanjut, Nasir mendedahkan tujuan Search yang kini sedang memasuki fasa baru.

“Search sedang memasuki fasa baru. Tidak hanya kepada konsert ‘head banging’ semata-mata. Kita ada konsep yang baru. Kami cuba ketengahkan rock and roll dengan mod teater.

“Senior band tidak boleh duduk di tempat yang sama. Lapangan muzik sangat luas untuk kami terus meneroka. Search perlu kekalkan prestasi dan kualiti untuk kekal relevan,” katanya.

Menyentuh tentang pemilihan lagu yang akan dibawakan pada malam konsert, Nasir berkata, 70 peratus merupakan lagu popular mereka yang jarang dimainkan.

“Kita sudah lama, berpuluh tahun dan ada beratus lagu. Kali ini keutamaan kita untuk mainkan lagu-lagu lama sekitar tahun 1980 dan 1990.

“Kami tidak boleh syok sendiri. Kami perlu fikir kepuasan penonton. Lagu-lagu kami memberi memori kepada peminat dan ia akan menjadi keutamaan Search pada malam konsert nanti,” jelasnya.

Mengulas tentang Endemik, Nasir berkata, tajuk single itu diilhamkan oleh Amy, menurut Astro AWANI.

“Kita berjaya buat dua single. Kemudian bila datang perancangan konsert, kami gunakan tajuk yang sama iaitu Endemik kerana kami lihat ia kena pada waktunya,” kata Nasir.

Man Kidal, Hillary Ang cipta sejarah beraksi sepentas

Saat yang amat ditunggu-tunggu oleh pemain gitar legenda, Man Kidal untuk konsert istimewa yang padanya bukan hanya melakar sejarah tersendiri untuk Search, tetapi juga untuk peminat.

“Memang saya rindu momen ini. Saya dengan Hillary tidak pernah berkongsi pentas sama. Waktu latihan pun saya sudah merasai ‘vibe’ itu. Sudah 38 tahun dan momen yang ada selepas COVID-19 ini membuatkan saya begitu teruja.

“Single Endemik ini istimewa dan membawa kelainan. Saya yakin peminat akan mengikuti Konsert Search Endemik ini dan bersama dengan kami semua,” jelasnya.

Bagi Hillary Ang, perkenalan selama 40 tahun dan perasaan yang ada dalam diri mereka masih sama sejak dari awal.

“Kami masih sama seperti dulu dan itu membuatkan kami teguh dan kuat sehingga ke hari ini. Kami bukan hanya dalam kumpulan rock, tetapi lebih kepada keluarga,” katanya.
 
Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan