Skip to main content

Hiburan

Sazali P Ramlee alami masalah kesihatan selepas kemalangan

Watak Sazali dalam filem 1956 'Anak-ku Sazali' arahan Allahyarham P Ramlee mungkin hidup bersenang lenang dimanjakan ayahnya. Namun realiti kehidupan bagi anak angkat seniman agung itu, Sazali P Ramlee jauh berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:
Sazali P Ramlee alami masalah kesihatan selepas kemalangan

(Gambar: Laman Kcpbantu.org)

Diterbitkan : 03 Dec 2020 11:25AM Dikemas Kini : 03 Dec 2020 11:27AM

SELANGOR: Watak Sazali dalam filem 1956 'Anak-ku Sazali' arahan Allahyarham P Ramlee mungkin hidup bersenang lenang dimanjakan ayahnya. Namun realiti kehidupan bagi anak angkat seniman agung itu, Sazali P Ramlee jauh berbeza.

Sazali, 62, kini berada dalam keadaan kurang sihat selepas ditimpa kemalangan pada Disember tahun lalu, menurut laporan Harian Metro.

Beliau yang kini dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM750 (S$247.40).

"Kalau ikutkan, ia tidaklah mencukupi," kongsi Sazali jujur ketika ditemui Harian Metro pada Selasa (1 Dis).

"Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah bayaran elektrik dan air, apa yang diharapkan semoga dapatlah jumlah bantuan itu dinaikkan pihak terbabit."

Sazali berkata beliau dan isteri, Hamidah Hitam, 58, masing-masing ada penyakit. Pasangan itu juga tidak dikurniakan cahaya mata selama lebih tiga dekad berkahwin.

"Selain masalah kaki yang masih belum pulih akibat kemalangan, saya juga ada menghidap asma dan darah tinggi. Isteri pula mengalami masalah tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan pada 2018," kata beliau seperti dilaporkan Harian Metro.

Keadaan kesihatan mereka juga memerlukan wang pembiayaan untuk kegunaan pengangkutan Sazali ke hospital di Cheras untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan mengikut temu janji ditetapkan doktor.

Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana menerima bantuan sedikit sebanyak daripada ahli keluarga yang tinggal berdekatan.

"Alhamdulillah, saya pun tinggal di rumah pusaka milik arwah mentua. Jadi ada jugalah saudara-mara sebelah isteri membantu kerana tinggal berjiran. Tapi, tak boleh juga selalu nak harapkan orang," kata Sazali.

Beliau turut berharap selagi nyawa dikandung badan, nasibnya sebagai waris P Ramlee akan terbela.

Sazali menambah, keadaan kesihatannya kini tidak membenarkannya untuk keluar bekerja mencari nafkah.

Sebelum ini, beliau pernah bekerja dengan Alam Flora tetapi sudah berhenti sekitar 13 tahun lalu apabila syarikat itu berpindah operasi ke Putrajaya dan beliau pula tidak boleh memandu.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita